
PUTRAJAYA: Seorang bekas menteri tiba di Mahkamah Majistret Putrajaya di sini hari ini bagi menghadapi permohonan reman oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) susulan siasatan berkaitan Laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) Lembaga Tabung Haji (TH).
Individu berusia lingkungan 60-an itu tiba di perkarangan mahkamah kira-kira pukul 10.25 pagi dengan menaiki sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV).
Ahli politik itu kemudian dibawa masuk oleh pegawai SPRM dengan tangan bergari dan memakai pakaian lokap berwarna jingga berlogo SPRM.
Semalam, Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Seri Abd. Halim Aman mengesahkan penahanan individu tersebut dan berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 16(a)(A) Akta SPRM 2009.
Bekas menteri itu dipercayai ditahan kira-kira pukul 4.30 petang semalam ketika hadir memberi keterangan di Ibu Pejabat SPRM, Putrajaya.
Sebelum ini, SPRM turut menahan reman bekas pengerusi dan bekas Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) TH serta bekas Ketua Setiausaha Perbendaharaan (KSP) bagi membantu siasatan berkaitan isu sama.
Pada 14 Ogos lalu, tujuh individu termasuk seorang wanita yang terdiri daripada seorang CEO, pengarah syarikat, bekas pengarah syarikat serta empat bekas pengurusan kanan TH turut ditahan SPRM bagi membantu siasatan.
Laporan RCI yang didedahkan pada 29 Julai lalu mengemukakan 25 syor utama bagi meningkatkan ketelusan, profesionalisme dan tadbir urus institusi berkenaan. – UTUSAN
The post RCI TH: Bekas menteri tiba di mahkamah untuk direman appeared first on Utusan Malaysia.






