
Ikuti saluran TikTok, WhatsApp BuzzKini untuk berita, informasi dan topik trending terbaharu.
Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Muhamad Akmal Saleh menegaskan bahawa kesalahan penyelewengan dalam Lembaga Tabung Haji (TH) tidak sepatutnya dijadikan alasan untuk menghina sesebuah bangsa.
Jelasnya, kesalahan beberapa individu tidak mencerminkan sikap mana-mana bangsa secara menyeluruh.
“Mencuri ini bukan soal bangsa. Ada Melayu yang mencuri. Ada Cina yang mencuri. Ada India yang mencuri. Dalam setiap bangsa, ada yang baik dan ada yang melakukan kesalahan. Jadi jangan kerana kesalahan beberapa individu, satu bangsa pula dihina dan direndahkan.
“Kesalahan dalam Tabung Haji, jika yang mencuri itu Melayu dan terus nak salahkan bangsa Melayu itu tidak adil.
“Kerana jangan lupa, isu korporat mafia isu terowong juga ada bangsa lain yang dituduh terlibat, adakah kita nak salahkan bangsa mereka?” soalnya menerusi hantaran di laman Facebook.
‘Jangan Hanya Pandai Tuding Jari, Tapi Gagal Ambil Tindakan’ – Akmal
Tambahnya, sekiranya seseorang didapati mencuri, pihak terlibat sepatutnya menyiasat dan didakwa di mahkamah dan bukannya menuding jari tanpa sebarang tindakan.
“Biar undang-undang tentukan siapa bersalah. Lebih-lebih lagi kalau kamu berada dalam kerajaan. Kamu ada kuasa, ada agensi, ada undang-undang. Gunakanlah.
“Jangan sudah jadi kerajaan, tetapi masih bercakap macam pembangkang, pandai menuding jari, tetapi gagal mengambil tindakan,” kata Akmal tanpa menyebut sebarang nama.
“Penjenayah Ada Bangsa, Tetapi Jenayah Tidak Kenal Bangsa” – Akmal
Di akhir perkongsian, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Merlimau itu sekali menegaskan bahawa seseorang tidak boleh bersikap pukul rata dengan mengaitkan sesuatu kesalahan dengan satu bangsa secara menyeluruh.
“Jangan kerana pelaku itu Melayu kamu hina Melayu secara keseluruhan, tetapi jika pelaku itu bangsa lain, kamu diam menikus! Penjenayah ada bangsa. Tetapi jenayah tidak mengenal bangsa,” jelasnya.
Mohd Sany Dakwa Melayu Islam Boleh Sakau Duit Rakyat
Perkongsian dan teguran Akmal itu dipercayai ditujukan kepada Ahli Parlimen Hulu Langat, Mohd Sany Hamzan yang sebelum ini mengeluarkan kenyataan secara sinis menyentuh isu salah laku dan penyelewengan didakwa membabitkan orang Melayu Islam semasa Mesyuarat Khas Dewan Rakyat mengenai laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) TH pada 11 Ogos lalu.
“Yang Berhormat Gombak (Datuk Seri Amirudin Shari: PH-Gombak) jadi masalah kenapa, tak mengapa jika nak curi, rompak atau sakau yang penting yang mengambil duit itu orang Melayu. Tak mengapa ambillah, curilah lagi yang penting Melayu dan Islam sebab dalam negara kita ini, Melayu saja yang boleh rompak, curi, sakau dan mentekedarah duit rakyat, janji Islam Melayu tak ada masalah.
“Yang tak boleh, Cina dan India,” katanya dengan nada sindiran.
Kenyataan itu kemudiannya dibantah Ahli Parlimen Putrajaya, Datuk Dr Radzi Jidin yang meminta Mohd Sany menarik balik ucapannya kerana disifatkan menyerang orang Melayu Islam.
Timbalan Speaker Berang Dengan Kenyataan Mohd Sany, Beri Amaran Untuk Tarik Semula Kenyataan
Timbalan Speaker Dewan Rakyat, Datuk Ramli Mohd Nor turut berasa berang selain meminta Mohd Sany untuk menarik semula seluruh kenyataannya atau diarahkan keluar Dewan Rakyat.
Bagaimanapun, Mohd Sany menjelaskan bahawa kenyataannya hanya merujuk kepada segelintir individu Melayu Islam yang didakwa terlibat dalam penyalahgunaan wang rakyat.
Baca Artikel Berkaitan: ‘Nak Bahas Saya Atau Tabung Haji?’ – Anwar Selar Pembangkang Keluar Dewan Rakyat Atas Alasan PM Tak Hadir
Baca Artikel Berkaitan: ‘7 Daripadanya Rugi 100%’ – Amir Hamzah Dedah Tabung Haji Kerugian RM13 Bilion Daripada 14 Pelaburan [Video]
Baca Artikel Berkaitan: Tabung Haji Rugi RM10 Bilion Sebab Tak Ikut Peraturan & Banyak Masalah Sejak 2014 – Anwar






