RCI TH: SPRM timbang khidmat forensik luar negara

LocalPolitics
14 Aug 2026 • 6:50 AM MYT
Utusan Online
Utusan Online

Berita terkini, tepat dan dipercayai daripada Utusan Malaysia

Image from: RCI TH: SPRM timbang khidmat forensik luar negara

PETALING JAYA: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mempertimbang untuk menggunakan khidmat pakar forensik luar negara bagi membantu siasatan penemuan dalam Laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) berhubung Lembaga Tabung Haji (TH).

Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Seri Abd. Halim Aman berkata, kepakaran itu diperlukan bagi penelitian merangkumi minit mesyuarat dan pelbagai dokumen berkaitan keputusan pelaburan yang dibuat.

Katanya, siasatan itu melibatkan aspek pelaburan, dokumentasi perjanjian serta kontrak yang memerlukan penelitian forensik secara terperinci.

“Dokumen yang terlibat dalam siasatan ini begitu banyak yang perlu dikaji dan diteliti. Usaha ini memerlukan penelitian khusus di samping kepakaran.

“Perbincangan melantik pakar forensik ini juga tertakluk kepada kos terlibat. Pakar forensik ini juga akan bekerjasama dengan pegawai pakar yang kami ada di SPRM,” katanya dalam sidang akhbar di Kuching semalam.

Abd. Halim berkata, seramai tujuh individu telah ditahan bagi membantu siasatan ini.

Katanya, lima individu telah direman manakala SPRM setakat ini membuka 14 kertas siasatan berkaitan isu yang dibangkitkan dalam laporan berkenaan.

“Siasatan setakat ini turut menyaksikan 28 premis diperiksa dan digeledah manakala 115 saksi dipanggil untuk ditemu bual serta dirakam percakapan di pejabat SPRM,” katanya.

Katanya, siasatan masih diteruskan terhadap enam isu yang dibangkitkan dalam RCI berkenaan selain beberapa isu lain yang dikenal pasti sepanjang siasatan.

“Antara tindakan yang sedang dijalankan termasuk jejak kewangan membabitkan dokumen dan penyata kewangan daripada institusi kewangan selain penelitian terhadap dokumen kontrak serta dokumen pembayaran.

“SPRM turut meneliti aspek kelemahan tatakelola yang dipercayai menjadi antara faktor berlakunya isu yang dibangkitkan dalam laporan berkenaan,” jelasnya.

Abd. Halim berkata, SPRM tidak berkompromi dalam meneliti sebarang unsur rasuah, penyelewengan, pemalsuan dokumen atau pengubahan wang haram yang dikenal pasti berdasarkan hasil siasatan RCI.

“SPRM akan menjalankan siasatan secara menyeluruh berdasarkan fakta dan bukti yang diperoleh serta mengambil tindakan sewajarnya sekiranya terdapat kesalahan di bawah undang-undang,” katanya.

Pada 31 Julai lalu, SPRM menubuhkan pasukan khas pada yang diketuai Pengarah Kanan Bahagian Siasatan SPRM, Datuk Mohd Hafaz Nazar bagi meneliti isu perundangan dan kemungkinan berlakunya kesalahan jenayah.

Siasatan itu juga selaras dengan mandat kerajaan, khususnya yang mengarahkan pihak berkuasa menjalankan penelitian terperinci bagi mengenal pasti sebarang kesalahan serta kelemahan berdasarkan Laporan RCI berkenaan.-UTUSAN

The post RCI TH: SPRM timbang khidmat forensik luar negara appeared first on Utusan Malaysia.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved