
Red Bull KTM Factory Racing mengesahkan barisan pelumba baharu mereka bagi musim MotoGP 2027 apabila mengumumkan kemasukan Alex Marquez dan Fabio Di Giannantonio sebagai gandingan rasmi pasukan dalam era baharu MotoGP.
Pengumuman itu menyaksikan KTM mempertaruhkan dua pelumba yang sedang berada di kemuncak prestasi masing-masing bagi memacu pembangunan jentera KTM RC16 mengikut regulasi baharu enjin 850cc yang akan diperkenalkan bermula musim 2027.
Alex Marquez menyertai KTM menerusi kontrak jangka panjang selepas muncul naib juara dunia MotoGP 2025 dan terus membuktikan konsistensinya apabila meraih kemenangan di Jerez pada musim 2026. Juara dunia Moto3 dan Moto2 itu memiliki pengalaman enam musim dalam kelas premier serta 16 kemenangan Grand Prix sepanjang kariernya.
Menariknya, hubungan Marquez bersama KTM bukanlah sesuatu yang baharu apabila beliau pernah meraih podium dan kemenangan Grand Prix pertamanya bersama jentera KTM RC4 dalam kategori Moto3 pada tahun 2013.
Sementara itu, Fabio Di Giannantonio atau lebih dikenali sebagai Diggia turut menandatangani kontrak jangka panjang bersama Red Bull KTM selepas mempamerkan aksi cemerlang bersama pasukan semasa. Pelumba Itali berusia 27 tahun itu kini berada dalam kelompok tiga terbaik kejuaraan MotoGP 2026 hasil beberapa podium termasuk satu kemenangan, sekali gus membuktikan dirinya sebagai pencabar kejuaraan.
Fabio merupakan antara segelintir pelumba yang pernah mencatat kemenangan dalam ketiga-tiga kategori Kejuaraan Dunia Grand Prix iaitu Moto3, Moto2 dan MotoGP, menjadikannya aset penting buat projek jangka panjang KTM.
Pengarah KTM Motorsports, Pit Beirer, percaya gabungan Alex Marquez dan Fabio Di Giannantonio mampu membawa pasukan kembali bersaing di kelompok hadapan MotoGP.
“Kami amat berbangga dapat mendapatkan bakat luar biasa seperti Alex Marquez. Dia memiliki kelajuan, kecerdikan perlumbaan serta mentaliti kemenangan yang sepadan dengan DNA KTM. Pada masa sama, Fabio telah membuktikan dirinya sebagai antara pelumba paling konsisten di hadapan. Kelajuan, komitmen dan semangatnya sangat sesuai dengan projek Red Bull KTM Factory Racing. Bersama-sama, kami mahu membawa KTM RC16 ke tahap lebih tinggi dan bersaing untuk kejuaraan MotoGP,” kata Beirer.
Dengan gabungan seorang bekas naib juara dunia MotoGP serta seorang pelumba yang sedang berada dalam perebutan kejuaraan 2026, Red Bull KTM Factory Racing jelas menghantar mesej bahawa mereka serius memburu kejayaan dalam era baharu MotoGP bermula musim 2027
The post Red Bull KTM Bentuk Gandingan Baharu Alex Marquez-Fabio Di Giannantonio Untuk MotoGP 2027 appeared first on TW Media.



