Reddit dikenali sebagai forum internet yang terbesar di dunia, dan menariknya, merupakan salah satu daripada platform yang digunakan oleh syarikat-syarikat seperti OpenAI dan Google untuk mengajar sistem kecerdasan buatan mereka.
Terkini, Reddit mengatakan bahawa mereka akan mula mengecas syarikat-syarikat besar yang mahu mengakses API mereka untuk tujuan-tujuan seperti ini. Pelan bayaran ini membolehkan syarikat-syarikat ini untuk had penggunaan API yang lebih tinggi, ciri-ciri tambahan dan hak penggunaan yang lebih meluas.
Reddit juga dilihat akan mengemaskini terma dan syarat penggunaan perkhidmatan-perkhidmatan API ini tidak lama lagi, dan akan menghantar notis kepada syarikat-syarikat yang menggunakan perkhidmatan tersebut pada kadar yang tinggi. Terma dan syarat terbaru ini dilaporkan akan berkuatkuasa 60 hari selepas notis dihantar kepada syarikat-syarikat yang menggunakannya.

Sebagai contoh, Google baru-baru ini telah memperkenalkan teknologi kecerdasan buatan mereka yang dinamakan Bard, dan telah mengesahkan bahawa LLM (Large Language Model) kecerdasan buatan tersebut telah dilatih menggunakan teks perbualan di Reddit dari tahun 2007 sehinggalah 2016, dan perkara ini dilakukan secara percuma.
CEO Reddit, Steve Huffman mengatakan walaupun data dan perbualan di Reddit boleh dilihat dan diakses secara percuma, ia tidak bermakna bahawa data tersebut perlu diberikan secara percuma kepada syarikat-syarikat yang mahu mengambil kesempatan dan membuat keuntungan keatasnya.
