
KUALA LUMPUR – Kehadiran pasangan selebriti Redza Rosli dan Bella Hanna di Mahkamah Rendah Syariah Wilayah Persekutuan di sini, hari ini mencetuskan tanda tanya.
Redza atau nama sebenarnya Ahmad Redza Rosli, 34 bagaimanapun memilih untuk mengunci mulut ketika ditemui media dan enggan mengulas lanjut mengenai tujuan kehadirannya di mahkamah berkenaan.
Peguam mewakili Redza, Wan Muhammad Afiq Mohd Razib juga enggan memberikan sebarang kenyataan, sebaliknya memaklumkan keputusan itu dibuat atas dasar menghormati privasi anak guamnya.
Sebelum ini, Bella tampil menjelaskan salah faham susulan sekeping foto dimuat naik menerusi media sosial memaparkan dirinya berada di Pejabat Agama Islam Daerah Hulu Langat, Selangor pada 2 Julai lalu.
Bella atau nama sebenarnya Farhana Nabila Rosman, meminta orang ramai supaya tidak terburu-buru membuat kesimpulan hanya berdasarkan sekeping gambar tanpa mengetahui perkara sebenar.
“Manusia mudah berburuk sangka dan membuat andaian. Kadangkala, memilih untuk bersangka baik jauh lebih menenangkan,” katanya.
Pada masa sama, Bella menegaskan perkongsian berkenaan tidak mempunyai sebarang niat untuk mencetuskan spekulasi, malah memberi gambaran rumah tangganya bersama Redza berada dalam keadaan baik.
Kemunculan pasangan itu di Mahkamah Rendah Syariah Wilayah Persekutuan hari ini bagaimanapun kembali menjadi perhatian, terutama selepas kontroversi mengenai foto Bella di pejabat agama sebelum ini.
Untuk rekod, Bella dan Redza mendirikan rumah tangga pada 2024.
Hasil perkahwinan tersebut, pasangan berkenaan dikurniakan seorang cahaya mata lelaki, Muhammad Aydrean Raess, pada 13 Januari lalu. – KOSMO! ONLINE
The post Redza Rosli, Bella Hanna buat apa di mahkamah syariah? appeared first on Kosmo Online.






