Regu ketiga penentu misi emas di Jepun

14 Aug 2026 • 8:20 AM MYT
Kosmo Online
Kosmo Online

Hub berita berintegriti dan sensasi dalam dan luar negara.

Image from: Regu ketiga penentu misi emas di Jepun

SKUAD sepak takraw lelaki negara perlu segera menyelesaikan teka-teki mengenai barisan pemain regu ketiga bagi memastikan misi memburu pingat emas pada Sukan Asia Aichi-Nagoya yang membuka tirai bulan depan tidak terjejas.

Jurulatih negara, Ahmad Jais Baharun mengakui Malaysia masih belum memiliki gandingan regu emas ketiga yang benar-benar efektif, konsisten dan berdaya saing selepas skuad negara menamatkan kempen Piala Raja Thai sebagai naib juara.

Katanya, banyak perkara yang perlu diberi perhatian dalam usaha memperkemaskan gandingan negara sebelum Malaysia turun beraksi di pentas Sukan Asia.

“Untuk persiapan ke Sukan Asia khususnya, secara peribadi saya lihat kita masih lagi belum mendapat gandingan regu ketiga yang lebih efektif, lebih konsisten dan lebih berdaya saing.

“Antara perkara yang perlu kita beri penekanan adalah daripada segi lambungan bola daripada apit kanan kepada tekong. Ini antara perkara yang perlu dilipatgandakan lagi usaha kita untuk memperbaiki mana-mana kelemahan pada edisi Piala Raja Thai kali ini,” katanya ketika dihubungi Kosmo! semalam.

Dalam pada itu, Ahmad Jais tetap melihat sisi positif daripada kempen Piala Raja Thai kali ini apabila beberapa pemain muda yang dibawa ke Bangkok menunjukkan potensi untuk diketengahkan dalam skuad utama negara pada masa akan datang.

“Kalau kita beri ruang dan juga peluang yang besar, saya percaya mereka mampu memikul cabaran untuk mewakili pasukan negara di pentas antarabangsa khususnya,” katanya.

Berdasarkan undian Sukan Asia Aichi-Nagoya 2026, Malaysia ditempatkan dalam Kumpulan B acara regu berpasukan bersama India, Filipina dan Jepun, manakala acara regu menyaksikan Malaysia turut berada dalam Kumpulan B bersama Vietnam dan Myanmar.

Misi memburu emas itu juga mempunyai nilai sejarah buat Malaysia kerana terakhir negara merangkul emas regu berpasukan pada Sukan Asia ialah di Beijing 1990, apabila Malaysia menewaskan Thailand untuk muncul juara.

Malaysia kemudian menamatkan penantian panjang pingat emas acara regu apabila muncul juara di Jakarta-Palembang 2018 dan ketika itu Thailand tidak mengambil bahagian dalam acara berkenaan, manakala Malaysia terpaksa berpuas hati dengan perak dalam regu berpasukan selepas tewas kepada Thailand.

Justeru, barisan regu yang bakal menyarung jersi negara perlulah yang terbaik agar Malaysia mampu menamatkan kemarau panjang di temasya empat tahun sekali itu. Pastinya, Thailand akan menurunkan regu terbaik mereka untuk menghalang Malaysia menguasai kedua-dua acara di Jepun.

The post Regu ketiga penentu misi emas di Jepun appeared first on Kosmo Digital.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved