Ketika orang ramai masih teruja dengan kehadiran fon telinga Sony, muncul pula berita mengenai fon kepala baharu Sonos Ace Ultra yang tertiris secara tidak sengaja oleh pihak Sonos melalui kemas kini di laman winfuture.de.

Model baharu ini dijangka dilancarkan pada bulan September sebagai pencabar utama kepada Sony WH‑1000XM6. Sonos Ace Ultra hadir sebagai pengganti kepada model lama Sonos Ace yang diperkenalkan pada Mei 2024, dengan rekaan serta ciri baharu yang dibuat untuk menegaskan posisi Sonos dalam segmen fon kepala premium sekali gus mencabar dominasi Sony.

onos Ace Ultra dijangka hadir dengan rekaan baharu yang menggunakan pad telinga lebih dalam serta lembut untuk keselesaan berpanjangan. Keselesaan ini disokong oleh sensor pemakaian yang direka semula bagi meningkatkan ketepatan fungsi automatik. Selain itu, Sonos turut memperkenalkan reka bentuk mikrofon baharu yang lebih tebal namun lebih pendek, sekali gus membantu meningkatkan kualiti panggilan suara.

Model ini juga dijangka menawarkan pembatalan hingar aktif yang lebih berkesan berbanding generasi sebelumnya. Walaupun tiada bicu 3.5 mm terbina, Sonos menyediakan kabel 3.5mm ke USB‑C bersama kabel pengecasan USB‑C bagi memudahkan pengguna. Dari segi pilihan warna, Sonos dijangka mengekalkan tradisinya dengan menawarkan dua pilihan klasik iaitu hitam dan putih, sama seperti model terdahulu. Buat masa ini, masih belum ada kepastian mengenai tarikh pelancaran rasmi Sonos Ace Ultra.
Sumber – Sonos Ace Ultra




