Huawei mula memberi bayangan awal mengenai jam tangan pintar terbaharu mereka, Watch D3 yang hadir dengan rekaan lebih nipis berbanding generasi sebelumnya. Siri Watch D sebelum ini dikenali dengan kemampuan mengukur tekanan darah terus dari pergelangan tangan. Namun begitu, ia sering hadir dengan bentuk agak besar kerana perlu memuatkan teknologi khusus bagi tujuan tersebut.

Generasi ketiga ini jelas menunjukkan usaha syarikat untuk menjadikannya lebih mesra pengguna dengan rekaan lebih nipis. Ia turut akan dipadankan dengan skrin lebih besar serta tali yang lebih lembut bagi meningkatkan keselesaan meskipun jenis material sebenar masih belum dapat dipastikan.

Peningkatan ini dilihat sebagai langkah penting jenama ini untuk seimbangkan fungsi kesihatan dengan keselesaan berpanjangan sekali gus menjadikan Watch D3 lebih praktikal digunakan pada pelbagai jenis pergelangan tangan. Bagaimanapun, spesifikasi penuh masih belum diumumkan kerana Huawei setakat ini hanya berkongsi aspek rekaan luaran.
Sumber – Huawei Mobile





