Rekod kebangsaan jadi taruhan Nani

23 Sep 2026 • 9:00 AM MYT
Utusan Online
Utusan Online

Berita terkini, tepat dan dipercayai daripada Utusan Malaysia

Image from: Rekod kebangsaan jadi taruhan Nani

PETALING JAYA: Atlet lontar peluru wanita negara, Nani Sahirah Maryata tidak mahu kehadiran barisan pencabar berkualiti tinggi di Sukan Asia Aichi-Nagoya 2026 menghakis keyakinannya, sebaliknya melihat temasya itu sebagai medan untuk menguji sejauh mana kemampuannya kembali ke tahap terbaik selepas berdepan kecederaan.

Nani yang dijadual memulakan saingan esok mengakui sudah membuat persiapan sejak Januari lalu, namun kecederaan yang dialami memaksanya melalui proses pemulihan sebelum kembali memberi tumpuan sepenuhnya kepada persiapan menghadapi temasya.

Atlet berusia 25 tahun itu turut menyedari sembilan pencabar yang bakal dihadapinya mempunyai kualiti tersendiri, namun enggan menjadikan reputasi mereka sebagai gangguan terhadap dua sasaran yang ditetapkan iaitu memecahkan rekod kebangsaan dan melangkah ke final.

“Persiapan untuk ke Sukan Asia ini sebenarnya sudah bermula sejak Januari lalu tetapi agak sulit sedikit kerana saya ada mengalami kecederaan, sebaik sahaja pulih, saya mula melakukan persediaan.

“Saya sudah tengok senarai nama pesaing di sana dan ada sembilan orang yang hebat, kalau mereka hebat, saya pun hebat juga dan saya akan buat yang terbaik selain cuba melakukan rekod kebangsaan,” katanya sebelum berlepas ke Jepun di Majlis Sukan Negara (MSN), pada Ahad.

Keyakinan Nani pula mempunyai asas apabila dia menghasilkan lontaran 15.86 meter (m) pada Sukan IPT 2026 awal bulan ini, hanya 0.50m di belakang rekod kebangsaan 16.36m yang dilakarnya sendiri.

Lebih penting, Nani mendakwa mampu melakukan lontaran melebihi 15m secara konsisten ketika latihan, menjadikan sasaran menembusi angka 16m bukan sekadar harapan menjelang penampilannya di Aichi-Nagoya.

“Untuk dijadikan sebagai petunjuk, saya sentiasa dapat lakukan lontaran sekitar 15m ke atas secara konsisten, bagi melepasi jarak 16m itu, Insya-Allah saya boleh melakukannya nanti,” ujar Nani. – UTUSAN

The post Rekod kebangsaan jadi taruhan Nani appeared first on Utusan Malaysia.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved