
PENAMPILAN sulung atlet lontar peluru negara, Jonah Chang Rigan pada temasya Sukan Asia Aichi-Nagoya 2026 mungkin hanya dianggap sebagai medan untuk dia menimba pengalaman yang cukup berharga.
Bagaimanapun, jurulatih peribadinya, Frantisek Petrovic menyuarakan keyakinan atlet kelahiran Sarawak itu mampu untuk menampilkan aksi terbaik dan sekurang-kurangnya melangkah ke pentas final.
Malah, beliau turut menyifatkan anak buahnya itu berada pada landasan terbaik untuk memecahkan rekod kebangsaan 19.12 meter (m) miliknya sendiri yang dilakukan pada Kejohanan Olahraga XXXV Qosanov Memorial 2026 di Kazakhstan Jun lalu.
Petrovic berkata, Jonah sentiasa mempamerkan lontaran terbaik setiap kali beraksi di pentas antarabangsa, sekali gus menjadikan Sukan Asia sebagai medan paling sempurna untuk dia merealisasikan hasrat tersebut.
“Dia (Jonah) sudah pun melakukan catatan 19.12m sebelum ini dan jika dilihat pada progres, memang dia semakin meningkat. Di Jepun nanti, memang saya mengharapkan dia untuk melangkah ke pentas final.
“Saya rasa dia sudah bersedia untuk itu (rekod kebangsaan) dan semuanya bergantung kepada cuaca, tekanan serta gangguan di sana. Bagi saya, dia sentiasa menampilkan aksi terbaik di pentas antarabangsa,” katanya ketika ditemui di Majlis Sukan Negara (MSN), Bukit Jalil kelmarin.
Sebagai rekod, atlet berusia 23 tahun itu memperbaharui rekod rekod kebangsaan ketika memenangi pingat perak di Kazakhstan selepas melakukan lontaran 19.12m bagi memadam catatan lama 18.81m.
The post Sukan Asia: Petrovic yakin Jonah realisasi hasrat appeared first on Kosmo Online.






