
KUALA LUMPUR - Rekod pencapaian dan sumbangan seseorang penjawat awam tidak boleh dijadikan tiket mengelakkan siasatan sekiranya terdapat dakwaan individu berkenaan terbabit dalam salah laku.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, kerajaan mengiktiraf prestasi serta sumbangan bekas Ketua Pengarah Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS), Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain, dalam perkembangan kerjayanya sebelum ini.
Namun katanya, sebarang dakwaan pelanggaran undang-undang perlu disiasat mengikut prosedur dan peruntukan undang-undang yang ditetapkan.
Mengakui bersimpati dengan insiden menimpa Mohd Shuhaily dan menghargai rekod perkhidmatannya, Perdana Menteri bagaimanapun menegaskan, beliau dan Menteri Dalam Negeri tidak seharusnya mencampuri urusan siasatan mahupun keputusan pendakwaan.
“Walau sebaik mana sekalipun seseorang pegawai itu, beliau tetap perlu mematuhi peraturan.
“Jika terdapat dakwaan atau tuduhan seseorang telah dicederakan, perkara itu perlu melalui proses yang sewajarnya,” katanya ketika menjawab soalan pada Waktu Pertanyaan Perdana Menteri (PMQT) di Dewan Rakyat, hari ini.
Anwar menjawab soalan tambahan Datuk Seri Dr Shahidan Kassim (PN-Arau) yang mempersoalkan keputusan menempatkan semula Mohd Shuhaily ke Polis Diraja Malaysia (PDRM), meskipun beliau menunjukkan prestasi baik sepanjang mengetuai AKPS.
Shahidan turut membangkitkan laporan polis berkaitan rakaman kamera keselamatan dan meminta kerajaan mempertimbangkan supaya Mohd Shuhaily dikekalkan di agensi berkenaan.
Mengulas lanjut, Anwar berkata, kerajaan sebelum ini turut memainkan peranan dalam perkembangan kerjaya Mohd Shuhaily, termasuk membawa beliau dari Pulau Pinang ke Kuala Lumpur sebelum diberikan tanggungjawab mengetuai AKPS.
Tegasnya, sebarang keputusan berhubung pendakwaan terletak di bawah bidang kuasa Jabatan Peguam Negara dan tidak wajar dipengaruhi campur tangan politik.
“Jika pihak pendakwaan atau Peguam Negara mendapati terdapat kes untuk dibawa ke mahkamah, maka proses berkenaan hendaklah dilaksanakan mengikut undang-undang negara,” katanya.
Mohd Shuhaily, 54, mengaku tidak bersalah pada 21 Oktober lalu terhadap dua pertuduhan dengan sengaja menyebabkan kecederaan terhadap dua anggota polis di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada 28 September lalu. - Getaran, 3 November 2026






