Rekod pecah bukti pembangunan olahraga kukuh

20 Aug 2026 • 8:00 AM MYT
Utusan Online
Utusan Online

Berita terkini, tepat dan dipercayai daripada Utusan Malaysia

Image from: Rekod pecah bukti pembangunan olahraga kukuh

PETALING JAYA: Kejayaan atlet muda mencatat rekod baharu Sukan Malaysia (SUKMA) Selangor 2026 membuktikan dunia olahraga negara tidak ketandusan jaguh dan atas landasan tepat menyediakan barisan pelapis yang mampu membawa cabaran di pentas lebih besar.

Jurulatih olahraga negara yang juga bekas atlet dekatlon kebangsaan, Malik Tobias berkata, program pembangunan atlet semakin tersusun menerusi penglibatan jurulatih, sains sukan dan pendedahan pertandingan.

Katanya, perkembangan itu dilihat bukan sekadar berdasarkan pencapaian pingat, sebaliknya turut membabitkan peningkatan prestasi atlet hasil persediaan sistematik yang menggabungkan kepakaran jurulatih serta pendekatan sains sukan dalam program latihan.

“Ekosistem olahraga ketika ini semakin berkembang apabila jurulatih dan atlet mula memberi penekanan lebih besar terhadap aspek sains sukan bagi membantu meningkatkan prestasi serta memastikan atlet berada pada tahap terbaik ketika menghadapi kejohanan utama.

“Peningkatan prestasi itu turut dapat dilihat apabila atlet yang terpilih mewakili negeri pada SUKMA (Sukan Malaysia) Selangor 2026 menjalani persediaan lebih rapi dengan sokongan jurulatih terbaik bagi memastikan mereka mampu menghasilkan catatan lebih baik.

“Sebagai contoh, sekarang ini kita lihat banyak pilihan (atlet) dalam acara 100 meter (m) dengan catatan 10.20 saat (s) dan 10.30s. Ini membuktikan pembangunan sukan olahraga kita semakin baik,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Setakat semalam, atlet muda yang mewakili negeri masing-masing membuktikan kebolehan berjaya memperbaharui lapan rekod SUKMA daripada 47 acara yang dipertandingkan.

Ditanya mengenai rekod SUKMA yang dipecahkan, Malik berkata, perkembangan itu menunjukkan persaingan dalam olahraga semakin sengit apabila lebih ramai atlet mampu menghasilkan catatan kompetitif, sekali gus memberi gambaran positif terhadap proses pencarian dan pembangunan bakat di peringkat negeri.

Dalam masa sama katanya, peranan jurulatih juga dilihat sangat penting kerana mereka bukan sahaja bertanggungjawab menyusun program latihan, malah membantu atlet memahami keperluan teknikal, fizikal dan strategi pertandingan berdasarkan perkembangan semasa.

Katanya, terdapat beberapa acara yang masih memerlukan peningkatan dari segi kemahiran di peringkat negeri, selain usaha memperluaskan pendedahan kepada bekas atlet untuk berkongsi pengalaman serta membantu generasi baharu.

“Bukan sahaja di SUKMA, sebenarnya di beberapa kejohanan sebelum ini, ada juga rekod dipecahkan. Bagi saya, masih ada acara yang memerlukan kemahiran dan kita perlu terus membangunkannya di peringkat negeri. Pengalaman bekas atlet juga boleh diturunkan kepada atlet baharu supaya proses pembangunan dapat diteruskan,” katanya.

Beliau melihat perkembangan olahraga pada SUKMA kali ini sebagai sesuatu yang sangat positif, namun menegaskan usaha itu tidak seharusnya terhenti selepas temasya berkenaan kerana masih terdapat platform seperti Majlis Sukan Sekolah Malaysia (MSSM), Sukan Institusi Pengajian Tinggi (SUKIPT) dan Varsity Grand Final untuk meneruskan kesinambungan pembangunan atlet. – UTUSAN

The post Rekod pecah bukti pembangunan olahraga kukuh appeared first on Utusan Malaysia.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved