
PETALING JAYA: Olahraga Malaysia (MA) memberi sokongan penuh untuk Datuk Abdul Latif Romly beraksi pada Sukan Asia Aichi-Nagoya 2026 selepas jaguh lompat jauh para negara itu mencipta catatan terbaik peribadinya 7.94 meter (m) di Terbuka Kedah, 18 Julai lalu.
Badan induk olahraga negara itu telah mengemukakan rayuan kepada Majlis Olimpik Malaysia (MOM) bagi membolehkan atlet berusia 29 tahun itu dipertimbangkan untuk beraksi pada temasya terbesar Asia tersebut.
Setiausaha Agung MA, Nurhayati Karim berkata, keputusan mengemukakan rayuan itu dilakukan selepas Latif sendiri menyatakan minat untuk beraksi di Aichi-Nagoya.
“MA sokong tetapi perkara ini bukan dalam kawalan MA. Kita sudah hantar dan kalau ada peluang, kita memang dengan sepenuh hati, secara sukarela, akan hantar Latif.
“Ya, kami telah menghantar rayuan kepada MOM dan MOM yang akan hantar kepada penganjur,” katanya.
Nurhayati berkata, peluang Latif untuk beraksi di Aichi-Nagoya bergantung kepada penerimaan pihak penganjur selain faktor tempoh masa yang semakin suntuk serta syarat kelayakan yang ditetapkan.
“Kalau dia pergi pun dalam Kategori B tetapi bukan MOM punya keputusan sebab kena tunggu sama ada penganjur memberi kebenaran atau tidak sebab masa sudah terlampau suntuk,” katanya.
Selain berjaya mencipta catatan 7.94m, kejayaan Latif memenangi pingat emas dengan lompatan 7.17m di Sukan Komanwel 2026 turut menyokong rayuan tersebut.
Bagi melayakkan diri secara merit ke Sukan Asia 2026, Latif perlu menyamai pencapaian atlet di kedudukan keenam, Chan Ming Tai dari Hong Kong yang melakukan lompatan 7.83m pada Sukan Asia 2022 namun difahamkan tarikh tutup penyertaan ke temasya itu pada Jun lalu. – UTUSAN
The post MA sokong Latif ke Aichi-Nagoya appeared first on Utusan Malaysia.





