
SHAH ALAM, 16 NOV: Remaja perempuan berusia 15 tahun parah selepas terkena tembakan yang dipercayai dilepaskan datuk saudaranya ketika berburu di kawasan hutan berhampiran Sungai Keliu, Kampung Tinanom di Ranau, Sabtu lalu.
Dalam kejadian kira-kira jam 9 malam itu, suspek dipercayai tersalah anggap cahaya di kawasan sungai sebagai mata haiwan buruan sebelum melepaskan tembakan yang mengenai mangsa.
Ketua Polis Daerah Ranau Superintenden Mursalin Mahmud berkata pihaknya menerima laporan berhubung kejadian itu pada jam 3.49 pagi Ahad, dengan siasatan awal mendapati mangsa bersama bapa saudaranya dan seorang lagi lelaki pergi ke kawasan sungai kira-kira jam 8 malam.
"Kira-kira jam 9 malam, bapa saudara mangsa terdengar bunyi tembakan disusuli jeritan meminta tolong sebelum bergegas ke lokasi dan mendapati anak saudaranya dalam keadaan berlumuran darah serta mengalami kecederaan di bahagian badan," katanya ketika dihubungi, lapor Sinar Harian.
Menurutnya, mangsa kemudian dibawa keluar dari kawasan kejadian sebelum dihantar ke klinik kesihatan pada jam 1.52 pagi Ahad dalam keadaan sedar, namun mengalami kesukaran bernafas serta beberapa luka pada anggota badan.
Beliau berkata mangsa menerima rawatan kecemasan awal sebelum dihantar menggunakan ambulans ke Hospital Ranau untuk rawatan lanjut dan ditempatkan di Zon Merah.
Pemeriksaan awal mendapati mangsa mengalami kira-kira 13 kesan kecederaan berbentuk luka tusukan pada leher, dada kanan, bahu kanan, kedua-dua anggota atas dan lutut kanan, selain pergelangan tangan kirinya patah.
Mursalin berkata polis berjaya menahan seorang lelaki yang mempunyai hubungan persaudaraan dengan mangsa, manakala siasatan awal mendapati suspek mengaku keluar berburu seorang diri dengan membawa senjata api buatan sendiri jenis bakakuk yang berisi peluru.
"Menurut keterangan suspek, ketika menyusuri tepi sungai, dia ternampak cahaya yang menyerupai mata binatang dan menyangka ia seekor pelanduk lalu melepaskan satu das tembakan. Bagaimanapun, tidak lama selepas itu, suspek terdengar jeritan kesakitan sebelum menghampiri lokasi dan mendapati individu yang terkena tembakan sebenarnya adalah mangsa," katanya.
Suspek turut mengaku membuang senjata api berkenaan di dalam hutan selepas membantu membawa mangsa keluar dari lokasi kejadian, manakala kes disiasat mengikut Seksyen 37 dan Seksyen 8(a) Akta Senjata 1960.






