
KUALA LUMPUR - Remaja lelaki berusia 15 tahun yang menikam rakan sekolahnya sehingga mati tahun lalu di sebuah sekolah menengah di Bandar Utama didapati tidak waras ketika kejadian, sekali gus membawa kepada pembebasannya daripada pertuduhan membunuh.
Dalam alasan penghakiman, Hakim Mahkamah Tinggi Shah Alam, Adlin Abdul Majid berkata, remaja berkenaan mengekori mangsa ke tandas perempuan selepas melihat mangsa menuju ke situ sebelum berdepan dengannya sambil membawa pisau.
Menurut penghakiman itu, remaja terbabit kemudian memaksa mangsa masuk ke dalam kubikel kedua, mengunci pintu dan memberitahu mangsa bahawa dia menyukainya.
"Bagaimanapun, mangsa cuba melawan dan mahu keluar dari kubikel itu, namun remaja berkenaan menolaknya semula ke dalam sebelum mula menikamnya,” menurut penghakiman tersebut.
Laporan bedah siasat bertarikh 22 Disember 2025 yang disediakan pakar patologi forensik Pusat Perubatan Universiti Malaya, Dr Koo Zhao Peng, merekodkan antara 180 hingga 200 kesan tikaman dan kelar pada pelbagai bahagian tubuh mangsa.
Mangsa disahkan meninggal dunia di dalam kubikel kedua akibat pelbagai kecederaan tikaman pada bahagian leher dan dada.
“Cedera yang menyebabkan kematian mangsa dilakukan oleh remaja berkenaan menggunakan sebilah pisau berukuran kira-kira 30 sentimeter, dengan perkataan ‘Leatherneck SF’ terukir pada bilahnya,” menurut penghakiman itu.
Pada 14 September lalu, mahkamah membebaskan dan melepaskan remaja tersebut daripada pertuduhan membunuh selepas mendapati dia tidak waras ketika kejadian pada 14 Oktober tahun lalu.
Mahkamah turut memerintahkan suspek ditahan dan menjalani rawatan di Hospital Bahagia Ulu Kinta, Perak, dengan persetujuan Sultan Selangor.
Peguam bela, Kitson Foong, berkata mahkamah mendapati pihak pembelaan berjaya memenuhi kehendak Seksyen 84 Kanun Keseksaan berhubung pembelaan atas alasan tidak waras, termasuk membuktikan keadaan tidak waras remaja itu dari sudut perubatan dan undang-undang. - Getaran, 23 September 2026





