Remaja maut motosikal bertembung Perodua Alza

11 Nov 2026 • 11:47 AM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: Remaja maut motosikal bertembung Perodua Alza
Keadaan motosikal yang ditunggang mangsa selepas bertembung dengan Perodua Alza dalam kejadian di Kilometer 20, Jalan Lahad Datu-Sandakan.

LAHAD DATU - [DIKEMAS KINI] Seorang remaja lelaki maut selepas motosikal yang ditunggang bertembung dengan sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) di Kilometer 20, Jalan Lahad Datu-Sandakan, di sini pada malam Selasa.

Dalam kejadian kira-kira jam 8.30 malam itu, remaja warga asing berusia 14 tahun mengalami kecederaan parah dan disahkan meninggal dunia di lokasi tersebut.

Ketua Polis Daerah Lahad Datu, Asisten Komisioner Dzulbaharin Ismail berkata, kemalangan melibatkan sebuah motosikal jenis Yamaha Y16ZR yang ditunggang mangsa dan sebuah MPV jenis Perodua Alza.

"Hasil siasatan awal di lokasi kejadian mendapati bahawa kemalangan berlaku apabila mangsa dalam perjalanan dari arah Bandar Lahad Datu menuju ke Sandakan dipercayai telah hilang kawalan sehingga memasuki lorong bertentangan.

"Pada masa sama, sebuah Perodua Alza yang dipandu lelaki berusia 29 tahun bersama lima penumpang bergerak dari arah Sandakan ke Bandar Lahad Datu dan disebabkan jarak yang terlalu dekat, motosikal tersebut telah melanggar hadapan kanan kenderaan tersebut," katanya dalam kenyataan pada Rabu.

Tambahnya, susulan kejadian itu menyebabkan kedua-dua kenderaan terbabas ke bahu kanan jalan tersebut.

"Akibat kemalangan tersebut, penunggang disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian manakala pemandu MPV cedera ringan di bahagian bibir dan sakit di paha kanan.

"Turut mengalami kecederaan ringan, dua penumpang MPV dan tiga penumpang lain tidak cedera," katanya.

Sehubungan itu, Dzulbaharin berkata, kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

"Mana-mana individu yang menyaksikan kejadian, diminta untuk menghubungi pegawai penyiasat trafik Inspektor Mohamad Humaidi Harun di talian 089-881255 atau hadir ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Lahad Datu untuk membantu siasatan," katanya.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved