ALOR SETAR – Remaja lelaki berusia 16 tahun yang melecur kira-kira 80 peratus pada seluruh badan akibat insiden renjatan elektrik ketika menyertai perarakan keagamaan di Mergong di sini, meninggal dunia pada awal pagi Rabu.
Mangsa disahkan meninggal dunia kira-kira jam 2.52 pagi di Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) di sini.
Ketua Polis Daerah Kota Setar, Asisten Komisioner Syed Basri Syed Ali berkata, bedah siasat akan dijalankan bagi mengetahui punca kematian mangsa.
Sebelum ini, mangsa dilaporkan masih tidak sedarkan diri selepas mengalami kecederaan parah dalam kejadian kira-kira jam 9.20 malam pada Selasa lalu.
Dalam kejadian itu, tiga peserta perarakan keagamaan dilaporkan cedera akibat renjatan elektrik ketika menyertai perarakan di jalan utama di Mergong.
Dua lagi mangsa masing-masing berusia 17 tahun mengalami kecederaan melecur kira-kira 40 peratus dan 20 peratus pada badan.
Seorang daripada mereka mengalami kecederaan melecur pada bahagian muka dan tangan, manakala seorang lagi yang juga pelajar sekolah melecur pada bahagian tangan.
Kedua-dua mangsa sebelum ini dilaporkan telah sedarkan diri namun masih dalam pemantauan pihak hospital.






