
ALOR SETAR – Remaja lelaki yang melecur 80 peratus pada badan selepas terkena renjatan elektrik ketika menyertai perarakan keagamaan di Mergong, di sini pada 13 Oktober lalu meninggal dunia awal pagi ini.
Mangsa, Khor Zhi Kang, 16, disahkan meninggal dunia kira-kira pukul 2.52 pagi ketika menerima rawatan di Hospital Sultanah Bahiyah (HSB), di sini.
Ketua Polis Daerah Kota Setar, Asisten Komisioner Syed Basri Syed Ali berkata, bedah siasat akan dijalankan bagi mengetahui punca kematian mangsa.
Kata beliau, seorang lagi mangsa berusia 17 tahun yang melecur 20 peratus pada tangan telah dibenarkan keluar dari wad HSB.
“Seorang lagi mangsa yang juga berusia 17 tahun dan mengalami kecederaan melecur 40 peratus pada muka dan tangan masih dirawat di hospital sama serta dilaporkan dalam keadaan stabil,” katanya di sini hari ini.
Kosmo! pada 14 Oktober lalu melaporkan seorang daripada tiga remaja lelaki yang terkena renjatan elektrik ketika menyertai perarakan keagamaan di Mergong dilaporkan tidak sedarkan diri selepas melecur 80 peratus pada badan.
Dua lagi mangsa masing-masing mengalami kecederaan melecur 20 peratus pada tangan serta 40 peratus pada muka dan tangan.
Kejadian kira-kira pukul 9 malam itu dipercayai berlaku selepas tiang bendera yang dibawa ketika perarakan tokong sayur tersentuh talian elektrik bervoltan tinggi.
Sementara itu, Tenaga Nasional Berhad (TNB) memaklumkan, tiang bendera yang dibawa ketika perarakan keagamaan dipercayai menghampiri talian penghantaran elektrik bervoltan tinggi sehingga menyebabkan percikan arka elektrik.
Menurut TNB, perkara itu berdasarkan siasatan awal susulan insiden yang membabitkan tiga orang awam berkenaan. – KOSMO! ONLINE
The post Remaja melecur akibat renjatan elektrik meninggal dunia appeared first on Kosmo Online.






