
SEOUL: Seorang remaja perempuan ditahan polis selepas disyaki menyimbah air mendidih ke atas ibunya sendiri hanya kerana pertengkaran akibat dilarang melarikan diri dari rumah.
Balai Polis Namyangju Nambu di Wilayah Gyeonggi memaklumkan pada Sabtu bahawa remaja yang hanya dikenali sebagai ‘A’ itu ditahan dan disoal siasat atas pertuduhan mendatangkan kecederaan parah ke atas ibu bapa.
Menurut polis, suspek disyaki menyimbah air mendidih daripada cerek elektrik ke atas ibunya, ‘B’, di kediaman mereka di Namyangju kira-kira jam 12.50 tengah malam waktu tempatan.
Kejadian berlaku berpunca daripada pertengkaran apabila suspek berhasrat untuk keluar dari rumah.
Apabila mangsa cuba menghalangnya dan merampas telefon bimbit milik suspek, remaja berkenaan bertindak menyimbah air mendidih tersebut.
Pihak polis bergegas ke lokasi kejadian selepas menerima laporan daripada jiran berhampiran dan menahan suspek di tempat kejadian.
Menurut polis, walaupun suspek masih di bawah umur, beliau tidak tergolong dalam kategori pesalah juvana yang terlepas daripada hukuman jenayah.
Mangsa melecur tahap dua dan telah dikejarkan ke hospital untuk rawatan lanjut. Kecederaan yang dialami dilaporkan tidak mengancam nyawa.
Pihak polis turut mempertimbangkan langkah perlindungan sementara bagi memisahkan ibu dan anak berkenaan demi keselamatan mangsa. – AGENSI
The post Remaja perempuan ditahan selepas simbah air panas pada ibu sendiri appeared first on Utusan Malaysia.






