Rempuh anggota PGA, suspek berdepan tindakan bawah SOSMA dan Seksyen 186

LocalPolitics
19 Aug 2026 • 1:24 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: Rempuh anggota PGA, suspek berdepan tindakan bawah SOSMA dan Seksyen 186
Mohd Yusoff berkata, suspek juga akan didakwa mengikut Seksyen 186 Kanun Keseksaan.

KOTA BHARU - Polis Kelantan menegaskan suspek yang bertindak merempuh anggota Pasukan Gerakan Am (PGA) semasa membawa pendatang asing tanpa izin (PATI) akan didakwa mengikut Seksyen 26J Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA).

Ketua Polis Kelantan, Datuk Mohd Yusoff Mamat berkata, suspek juga akan didakwa mengikut Seksyen 186 Kanun Keseksaan.

"Ia sebagai langkah tegas terhadap kegiatan penyeludupan yang semakin berani bertindak terhadap anggota penguat kuasa," katanya.

Beliau berkata demikian ketika sidang akhbar selepas merasmikan Sambutan Hari Polis ke 219 dan Program Flag Off sempena Bulan Kebangsaan dan Kibar Jalur Gemilang Tahun 2026 di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kelantan di sini pada Rabu.

Hadir sama, Ketua Polis Negeri Sembilan, Datuk Alzafny Ahmad dan Ketua Polis Terengganu, Datuk Mohd Khairi Khairudin.

Sebelum itu dua anggota PGA cedera termasuk seorang menerima dua jahitan di kepala selepas dilanggar kenderaan dipandu seorang bekas banduan yang dipercayai terlibat dalam kegiatan penyeludupan PATI di Kampung Chat, Pulau Besar, Tumpat.

Dalam kejadian kira-kira jam 8 malam itu, kedua-dua anggota berpangkat Lans Koperal berusia 34 dan 29 tahun terbabit dalam Op Taring Wawasan sebelum mengesan sebuah Proton Preve dalam keadaan mencurigakan.

Menurut beliau, polis akan terus mengambil tindakan berlandaskan undang-undang terhadap mana-mana pihak yang cuba mencabar penguat kuasa atau mengganggu tugas pasukan berkenaan.

Katanya, Polis Kelantan tidak akan berkompromi terhadap sindiket penyeludupan ini termasuk tonto-tonto mereka yang bertindak agresif menghalang kenderaan pasukan penguat kuasa.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved