
Ketua Pegawai Kewangan universiti swasta di Nilai didakwa pecah amanah bawah Seksyen 409 Kanun Keseksaan yang bawa hukuman penjara maksimum 20 tahun.
SEREMBAN: Seorang Ketua Pegawai Kewangan (CFO) sebuah universiti swasta di Nilai mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan pecah amanah wang syarikat berjumlah RM6.56 juta, sejak Sept 2025 hingga April lepas.
Noraini Aripin, 55, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Hakim Datin M. Kunasundary Marimuthu.
Mengikut pertuduhan, Noraini yang diamanahkan dengan penguasaan wang berjumlah RM6,557,720, didakwa menyalahgunakan dana berkenaan dengan membuat pembayaran selain bagi tujuan pembayaran duti ad valorem kepada Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN).
Kesalahan itu didakwa dilakukan di pejabat universiti berkenaan antara Sept 2025 hingga April lepas.
Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 409 Kanun Keseksaan [Akta 574] yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun serta sebatan dan denda, jika sabit kesalahan.
Timbalan Pendakwa Raya Syairah Aqilah Khalil menawarkan jaminan RM100,000 dengan dua penjamin, berserta syarat tambahan pasport diserahkan kepada mahkamah, dan tertuduh perlu melapor diri di pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Negeri Sembilan setiap bulan.
Bagaimanapun, peguam Kelvin Ong memohon kadar jaminan dikurangkan kepada RM50,000 dengan alasan anak guamnya ialah ibu kepada lima anak, menghidap kanser payudara tahap tiga dan kini menjalani rawatan di sebuah hospital swasta, selain berpendapatan RM15,000 sebulan.
Hakim kemudiannya menetapkan jaminan sebanyak RM80,000 dengan dua penjamin, selain membenarkan semua permohonan pihak pendakwaan.
Mahkamah menetapkan 21 Sept ini sebagai tarikh sebutan semula kes.





![[VIDEO] Ketua Pegawai Kewangan IPTS didakwa pecah amanah lebih RM6.56 juta](https://imgproxy.newswav.com/139x0,q50=/https://www.kosmo.com.my/wp-content/uploads/2026/08/WhatsApp-Image-2026-08-19-at-12.04.32-1024x768.jpeg)