Mondelez labur RM90 juta tingkatkan kapasiti pengeluaran Cadbury di Shah Alam

LocalBusiness & Finance
11 Sep 2026 • 4:27 PM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Mondelez labur RM90 juta tingkatkan kapasiti pengeluaran Cadbury di Shah Alam Image from: Mondelez labur RM90 juta tingkatkan kapasiti pengeluaran Cadbury di Shah Alam liza11/09/2026 - 16:27 Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN liza@dagangnews.com

KUALA LUMPUR 11 Sept – Mondelez International melabur RM90 juta untuk memperluaskan kapasiti pengeluaran di kilang Cadbury di Shah Alam, Selangor bagi memenuhi permintaan yang semakin meningkat di Malaysia serta pasaran eksport.

 

Pelaburan itu merupakan pelaburan tunggal terbesar Mondelez di kilang konfeksi berkenaan dan direalisasikan menerusi pembinaan menara serbuk coklat (Crumb Tower) baharu yang kini telah siap dan mula beroperasi.

 

Kemudahan berkenaan membolehkan kilang Shah Alam menghasilkan serbuk coklat iaitu bahan asas penting dalam pengeluaran coklat yang sebelum ini diimport dari beberapa pasaran termasuk Afrika Selatan dan Australia.

 

Pengeluaran bahan itu akan meningkatkan keupayaan kendiri kilang, selain mengukuhkan rantaian bekalan Mondelez serta menyediakan kapasiti tambahan untuk menyokong pasaran di luar Asia Tenggara.

 

Pengarah Urusan Mondelez International Malaysia dan Singapura, Simon Crowther berkata pelaburan itu mencerminkan keyakinan syarikat terhadap Malaysia serta keupayaan yang telah dibangunkan di operasi Shah Alam sepanjang lebih lima dekad.

 

Teknologi Maju Perkukuh Pengeluaran Tempatan

Menurutnya, pembinaan Crumb Tower mencerminkan komitmen berterusan Mondelez untuk melabur di Malaysia dengan memperkukuh keupayaan pembuatan menerusi teknologi maju dan kepakaran tempatan.

 

Beliau berkata, penghasilan serbuk coklat secara tempatan bukan sahaja meningkatkan tahap kendiri kilang, malah membolehkan Shah Alam memainkan peranan lebih besar dalam rangkaian pembuatan serantau Mondelez.

 

Crumb Tower itu menggabungkan tiga sistem pembuatan maju, termasuk sistem pengendalian serbuk berkapasiti tinggi yang tertutup sepenuhnya, reaktor-T generasi baharu dan sistem pengendalian lemak yang direka mengikut piawaian keselamatan proses yang ketat.

 

Reaktor-T berkenaan merupakan yang pertama menggunakan reka bentuk tersebut di Malaysia, manakala keseluruhan sistem membolehkan proses pengeluaran dilaksanakan dengan tahap automasi yang tinggi serta dikawal secara digital.

 

Kemudahan itu turut direka bagi memenuhi piawaian antarabangsa berkaitan kualiti dan keselamatan makanan, termasuk keperluan halal sepanjang proses pengeluaran.

 

Bangunkan Kepakaran Dan Rantaian Bekalan Tempatan

Pelaburan tersebut turut memberi tumpuan kepada pembangunan tenaga kerja tempatan apabila jurutera dan operator Malaysia dilatih untuk mengendalikan sistem baharu, termasuk kawalan proses, analisis data serta penyelenggaraan peralatan berteknologi tinggi.

 

Pada masa sama, pembekal tempatan yang terlibat dalam penyediaan teknologi untuk projek itu turut berjaya melayakkan diri bagi menyokong operasi Mondelez di tapak lain di seluruh dunia, sekali gus meluaskan manfaat pelaburan itu kepada ekosistem pembuatan Malaysia.

 

Mondelez telah mempunyai operasi pembuatan di Selangor selama lebih 50 tahun dengan produk Cadbury mula dihasilkan di kilang Shah Alam sejak 1974.

 

Crowther berkata, kilang Shah Alam kini berada pada kedudukan untuk memainkan peranan lebih besar dalam rangkaian pembuatan serantau Mondelez dengan menggabungkan pengeluaran tempatan, teknologi maju dan kepakaran teknikal rakyat Malaysia bagi memenuhi keperluan pasaran domestik serta eksport.

 

Sementara itu, Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berkata pelaburan Mondelez itu mencerminkan keyakinan syarikat terhadap Selangor sebagai pangkalan pembuatan jangka panjang, khususnya bagi syarikat yang melabur dalam teknologi dan automasi untuk meningkatkan produktiviti pekerja.

 

Beliau berkata, Selangor juga berusaha memperkukuh ekosistem pendidikan dan latihan teknikal serta vokasional menjelang 2030 supaya tenaga kerjanya dapat memenuhi keperluan industri yang semakin berubah, manakala aktiviti ekonomi negeri itu melebihi RM460 bilion pada 2025 dan dijangka melangkaui RM500 bilion pada 2027 atau 2028. - DagangNews.com

Terkini standard
Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved