Resorts World Kijal perkasa inisiatif pemuliharaan penyu di Pantai Kijal, Kemaman

28/08/2025 - 11:14
Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN
KUALA LUMPUR 28 Ogos – Resorts World Kijal (RWK), anak syarikat Genting Malaysia Bhd dengan kerjasama Jabatan Perikanan Negeri Terengganu, memperkukuh lagi inisiatif pemuliharaan penyu di Pantai Kijal sebagai sebahagian komitmen tanggungjawab sosial korporat di bawah program Genting Bersama Malaysia.
Bertemakan “Bersama Melindungi Warisan Lautan Kita”, program itu memfokuskan pendidikan alam sekitar, penglibatan belia dan tindakan pemuliharaan secara langsung di salah satu lokasi pendaratan penyu yang masih ada di negara ini.
Naib Presiden Eksekutif Jualan, Pemasaran & Perhubungan Awam Genting Malaysia, Spencer Lee berkata, inisiatif tersebut mencerminkan komitmen tinggi pihaknya bersama dalam melindungi alam sekitar dan spesies marin yang terancam itu.
“Di Genting Malaysia, kami percaya tanggungjawab untuk menjaga alam sekitar ini bukan usaha individu, namun patut disokong semua pihak.
“Kami mahu usaha ini berkembang menjadi gerakan komuniti yang memberi inspirasi kepada perubahan berkekalan,” katanya dalam satu kenyataan.


Acara selama dua hari itu diserikan dengan pelepasan simbolik 100 anak penyu oleh Penolong Pegawai Daerah Kemaman, Hanum Isa @ Ghazali bersama sukarelawan Genting Green Generation (G3).
Aktiviti lain termasuk sesi kesedaran bersama WWF Malaysia dan Jabatan Perikanan, pembersihan pantai sepanjang 7.6 kilometer yang mengutip 450 kilogram sisa, serta penanaman 30 anak pokok kelapa.
Sementara itu, Ketua Cawangan Konservasi dan Perlindungan Perikanan, Jabatan Perikanan Negeri Terengganu, Norlizawati Ibrahim berkata, usaha bersama ini penting bagi memulihkan populasi penyu di perairan negara.
“Usaha yang dijalankan Resorts World Kijal ini sangat signifikan dalam memelihara spesies penyu yang semakin terancam. Penglibatan seumpama ini adalah penting kerana dapat membantu memulihkan populasi penyu di perairan negara,” katanya.
Pantai Kijal yang terletak di Kemaman merupakan habitat penting bagi penyu Agar dan penyu Karah, namun berdepan ancaman akibat pembangunan tidak terkawal, pencemaran laut dan pencerobohan sarang telurnya.

Resorts World Kijal turut berhasrat menjadikan pemuliharaan alam semula jadi sebahagian daripada pengalaman pelancongan yang ditawarkan untuk pengunjung.
Pengurus Kanannya, Errol Christopher De Castro berkata, pengunjung bukan sahaja membawa pulang kenangan indah, tetapi juga ilmu dan peluang menyumbang kepada usaha bermakna itu secara berterusan.
Genting Malaysia melalui G3 akan terus memperluas kerjasama strategik bersama komuniti, agensi kerajaan dan NGO bagi memastikan kelestarian ekosistem marin untuk generasi akan datang. - DagangNews.com
standard


