hamden04/08/2026 - 10:35 Oleh HAMDEN RAMLI editor@dagangnews.com KUALA LUMPUR 4 Ogos - RHB Research mengekalkan saranan "Beli" terhadap Sime Darby Bhd dengan menaikkan harga sasaran (TP) kepada RM2.40 daripada RM2.27, walaupun menjangkakan pemulihan kumpulan pada tahun kewangan 2027 (FY27) masih berlaku secara berperingkat.
Firma penyelidikan itu berpandangan, kelembapan berterusan dalam perniagaan automotif di China dan prospek yang masih suram bagi sektor perlombongan di Australia bukan alasan untuk mengubah pendirian positif terhadap saham tersebut.
Sebaliknya, RHB Research melihat penilaian saham Sime Darby yang masih murah, potensi hasil dividen yang tinggi serta prospek pemulihan operasi sebagai faktor utama yang menjadikan saham itu terus menarik kepada pelabur.
"Sime Darby kini diniagakan pada paras kira-kira satu sisihan piawai di bawah purata sejarahnya, selain dijangka menawarkan hasil dividen sekitar 7% bagi FY27, menjadikannya antara pilihan menarik dalam sektor perindustrian," katanya.
Menurut RHB Research, pemulihan Sime Darby pada FY27 dijangka dipacu oleh peningkatan permintaan dalam segmen perindustrian serta pemulihan operasi automotif di China, walaupun momentum itu dijangka sebahagiannya diimbangi oleh aktiviti perlombongan di Australia yang masih berhati-hati berikutan kos pembiayaan dan bahan api yang tinggi.
Segmen Perindustrian Kekal Sebagai Penyumbang Utama
Firma penyelidikan itu berkata, segmen perindustrian kekal menjadi penyumbang keuntungan paling penting kepada kumpulan apabila menyumbang kira-kira 42% daripada EBIT bagi tempoh sembilan bulan FY26, dengan margin dijangka kekal stabil susulan pelarasan harga jualan purata (ASP) Caterpillar pada Julai 2026.
Pada masa sama, aktiviti selepas jualan yang menawarkan margin lebih tinggi dilaporkan mula menunjukkan peningkatan secara beransur-ansur sejak Julai, sekali gus dijangka menyokong prestasi segmen tersebut dalam tempoh akan datang.
Bagi perniagaan automotif pula, RHB Research menjangkakan keputusan FY26 yang akan diumumkan pada 27 Ogos 2026 akan menunjukkan keuntungan bersih teras selepas kepentingan minoriti (PATAMI) sekitar RM300 juta hingga RM330 juta, disokong peningkatan jualan bermusim serta potensi rebat bagi operasi di China.
Jualan BYD juga dijangka terus meningkat berikutan pembelian awal pengguna sebelum pelaksanaan dasar baharu kenderaan elektrik (EV) pada 1 Julai lalu.
Selain itu, firma penyelidikan berkenaan turut melihat potensi sumbangan dividen daripada perniagaan BMW sebanyak RM100 juta hingga RM120 juta, yang berupaya meningkatkan unjuran pendapatan FY26 sebanyak 5% hingga 7%.
Prestasi Jualan Kenderaan Semakin Baik
Prestasi jualan kenderaan yang semakin baik turut mengukuhkan prospek kumpulan apabila Perodua merekodkan peningkatan jumlah jualan sebanyak 13% suku ke suku kepada 84,062 unit pada suku kedua 2026, manakala Toyota dan BYD masing-masing mencatatkan pertumbuhan jualan sekitar 35% dan 31% berbanding suku sebelumnya.
Susulan prestasi industri automotif yang lebih baik daripada jangkaan, RHB Research turut menaikkan unjuran jumlah volum industri (TIV) Malaysia kepada 805,000 unit daripada 780,000 unit, sekali gus menyemak naik andaian jualan Sime Darby.
Sehubungan itu, firma penyelidikan tersebut menaikkan unjuran pendapatan FY27 hingga FY28 masing-masing sebanyak 4%, didorong jangkaan jumlah jualan dan margin yang lebih tinggi bagi Perodua.
RHB mengekalkan saranan "Beli" dengan harga sasaran baharu RM2.40, berdasarkan penilaian jumlah bahagian (SOP) yang tidak berubah, sambil menyifatkan risiko utama kepada unjuran itu ialah margin keuntungan yang lebih rendah daripada jangkaan serta tempoh pemulihan yang lebih panjang bagi perniagaan automotif Sime Darby di China. - DagangNews.com






