RHB Research unjur sektor automotif Malaysia suram berikutan persaingan harga, tempahan kurang

28/04/2025 - 15:10
Oleh Shamsiah Zulkafli
KUALA LUMPUR 28 April - Prospek sektor automotif Malaysia kekal suram disebabkan persaingan harga dalam kenderaan bukan nasional dan tempahan yang semakin berkurangan.
Menurut RHB Research, jumlah industri automotif (TIV) bagi suku pertama 2025 mencatat penurunan berbanding tahun lalu, selari dengan unjuran suram sektor tersebut berikutan ketiadaan pemangkin baharu yang mampu melonjakkan jualan.
Katanya, angka berkenaan sejajar dengan unjuran tahunan RHB sebanyak 730,000 unit bagi tahun 2025, yang mewakili 25.8 peratus daripada sasaran itu.
"Bagi suku kedua, kami menjangkakan jumlah jualan kenderaan akan menjadi lebih perlahan secara bermusim disebabkan sambutan Hari Raya Aidilfitri serta penyelenggaraan kilang oleh Perodua dan Proton," menurut RHB Research dalam satu nota kajian.
Pengeluaran kenderaan juga menurun 5.7 peratus secara bulanan dan jatuh 13 peratus berbanding tahun sebelumnya pada Mac lalu, kesan daripada penurunan aktiviti ketika bulan Ramadan.
RHB Research menjangkakan, trend penurunan berkenaan berterusan dalam suku kedua, kesan daripada penutupan kilang sempena Hari Raya Aidilfitri pada April dan Hari Raya Aidiladha pada Jun ini, selain penyusutan dalam tempahan tertunggak bagi jenama utama.
Firma penyelidikan itu mengekalkan penarafan 'neutral' terhadap sektor automotif, dengan unjuran TIV 2025 dikekalkan pada 730,000 unit.
"Ini mencerminkan jangkaan kami terhadap kelembapan sektor secara kitaran, tanpa pemangkin baharu yang signifikan untuk melonjakkan jualan dan keuntungan," ujarnya.
Sime Darby Bhd kekal sebagai pilihan utama RHB Research dalam sektor itu, berikutan kedudukannya untuk menampung kesan penghapusan subsidi RON95 serta pendedahan besar kepada jenama paling popular di Malaysia, Perodua. - DagangNews.com
standard

