
SHAH ALAM – Penghantar barang yang tular melanggar seorang pelajar ketika melintas jalan di hadapan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Saujana Utama, mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di sini hari ini.
Muhammad Haziq Izzuddin Ruslan, 25, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Majistret Muhammad Syafiq Sulaiman.
Mengikut pertuduhan, tertuduh yang menunggang motosikal jenis Yamaha didakwa menunggang tanpa kecermatan dan perhatian yang sepatutnya terhadap pengguna jalan raya lain.
Perbuatan itu menyebabkan kemalangan membabitkan seorang pejalan kaki di Persiaran Saujana 4, Daerah Sungai Buloh pada pukul 12.08 tengah hari, 28 September lalu.
Sabit kesalahan boleh dipenjara sehingga 12 bulan dan denda antara RM5,000 dan RM10,000, mengikut Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987
Timbalan Pendakwa Raya, Alia Anisa Khairus Masnan mencadangkan jaminan sebanyak RM5,000 dengan seorang penjamin.
Bagaimanapun, Peguam Muhamad Saifullah Muhamad Azmi merayu jaminan sebanyak
RM1,500 ekoran purata pendapatan sebulan tertuduh hanya RM1,500.
“Dia juga menyara ibu dan ayahnya yang sudah tua. Harap mahkamah dapat mempertimbangkannya,” katanya.
Mahkamah kemudiannya menetapkan jaminan RM2,000 dengan seorang penjamin selain tertuduh perlu melapor diri sebulan sekali di balai polis berhampiran.
Sebutan semula kes ditetapkan 12 November ini.
Kosmo! sebelum ini melaporkan seorang penghantar barang yang dalam perjalanan menghantar pesanan makanan ke Puncak Alam telah melanggar seorang pelajar di hadapan sebuah sekolah menengah ketika melintas jalan. – KOSMO! ONLINE
The post Rider nafi langgar pelajar melintas jalan appeared first on Kosmo Online.





