Risiko memancing pada musim panas El Nino

Health & FitnessLifestyle
20 Aug 2026 • 11:50 AM MYT
Kosmo Online
Kosmo Online

Hub berita berintegriti dan sensasi dalam dan luar negara.

Image from: Risiko memancing pada musim panas El Nino

Strok haba berlaku apabila tubuh gagal mengawal suhu badan akibat pendedahan terlalu lama di bawah terik matahari.

Antara tanda awal strok haba adalah pening kepala, badan menjadi lemah, muntah, denyutan jantung laju dan suhu badan meningkat secara mendadak.

Jadi, kaki pancing seharusnya menghadkan aktiviti pada siang hari demi mengelakkan sebarang komplikasi kesihatan yang serius.

Jika masih mahu meneruskan aktiviti memancing di siang hari yang terik, anda perlu lebih banyak minum air mineral dan peka terhadap keadaan tubuh masing-ma­sing.

Selain itu, digalakkan minum minuman isotonik bagi menggantikan garam mineral yang hilang melalui peluh.

Membawa makanan ringan seperti roti, biskut atau buah-buahan juga penting bagi memastikan tenaga sentiasa mencu­kupi sepanjang waktu memancing di siang hari.

Pancingan malam hari
Bagi mengatasi masalah cuaca siang yang terlalu panas, ramai pemancing mengambil keputusan untuk memancing pada waktu malam kerana suasananya lebih sejuk dan selamat.

Keadaan ini memberikan keselesaan kepada pemancing untuk berada lebih lama di lokasi memancing tanpa perlu menanggung bahang panas yang melampau.

Selain itu, memancing pada waktu malam juga memberikan pengalaman yang berbeza kerana suasana lebih tenang dan damai. Ada juga pemancing yang menganggap memancing pada waktu malam sebagai satu terapi untuk menenangkan fikiran selepas penat bekerja di siang hari.

Image from: Risiko memancing pada musim panas El Nino
Selepas subuh adalah waktu terbaik untuk memancing, sebelum cuaca beransur semakin panas.

Pelbagai spesies ikan lebih aktif dan mudah diperolehi pada waktu malam berbanding siang hari seperti baung, keli, siakap putih, siakap merah, kerapu, jenahak dan pari.

Oleh itu, peluang untuk memperoleh hasil tangkapan yang memuaskan tetap tinggi jika pemancing menggunakan umpan seperti udang, anak ikan atau cacing.

Namun, aspek keselamatan ketika memancing malam juga perlu dititikberatkan. Pemancing perlu membawa lampu suluh, ubat nyamuk, pisau atau parang dan memakai pakaian yang sesuai.

Elakkan memancing bersendirian di lokasi terpencil kerana jika berlaku kecemasan sukar untuk mendapatkan bantuan dengan segera.

Sebaiknya, pergilah memancing secara berkumpulan supaya keselamatan lebih terjamin.

Jika masih mahu memancing di waktu siang, sila pilih waktu yang redup seperti awal pagi dan lewat petang atau berlin­dung di kawasan berkanopi seperti di bawah pokok.

Sentiasalah menjaga kesihatan diri sewaktu memancing pada musim panas seperti ini. Semoga hobi memancing dapat dinikmati dengan selamat, selesa dan memberikan hasil tangkapan yang sentiasa memuaskan.

The post Risiko memancing pada musim panas El Nino appeared first on Kosmo Digital.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved