Rizab elektrik Sabah naik 19%, mula teroka hubungan grid dengan Kalimantan dan Filipina - Masidi

LocalBusiness & Finance
16 Nov 2026 • 6:10 PM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Rizab elektrik Sabah naik 19%, mula teroka hubungan grid dengan Kalimantan dan Filipina - Masidi Image from: Rizab elektrik Sabah naik 19%, mula teroka hubungan grid dengan Kalimantan dan Filipina - Masidi amree16/11/2026 - 18:10 Oleh AMREE AHMAD amree@dagangnews.com

KUALA LUMPUR 16 Nov — Margin rizab penjanaan elektrik Sabah meningkat kepada 19% setakat Ogos 2026 berbanding hanya kira-kira 8% pada 2024, namun negeri itu masih berdepan cabaran infrastruktur bekalan khususnya di kawasan luar bandar dan Pantai Timur.

 

Timbalan Ketua Menteri II Sabah, Datuk Seri Masidi Manjun berkata, peningkatan sebanyak dua kali ganda tersebut susulan langkah pengambilalihan kuasa kawal selia elektrik dan tenaga boleh diperbaharui (RE) oleh kerajaan negeri sejak Januari 2024.

 

Beliau yang juga Menteri Kewangan Sabah berkata, bekalan elektrik yang stabil pada harga berpatutan merupakan keperluan asas sebelum negeri itu mampu memperkukuh perindustrian, menarik pelaburan bernilai tinggi dan menyediakan pekerjaan bergaji lebih baik.

 

"Cabaran infrastruktur elektrik yang berlarutan perlu ditangani bagi memastikan manfaat pembangunan ekonomi dapat dinikmati secara menyeluruh, termasuk penduduk di kawasan pedalaman," jelas beliau.

 

Masidi menyatakan demikian ketika berucap pada majlis pembukaan Bengkel Pelaburan Tenaga dan Perhubungan Grid Serantau Sabah di sebuah hotel di Kota Kinabalu pada Isnin.

 

Tambah beliau, Pelan Hala Tuju dan Pelan Induk Tenaga Sabah 2040 menyediakan kerangka bagi meningkatkan kebolehpercayaan bekalan, memperluas akses elektrik di luar bandar serta mempelbagaikan campuran sumber tenaga negeri.

 

elektrik_DagangNews2026
Gambar hiasan

 

Ujarnya, antara perkembangan yang disifatkan sebagai contoh kerjasama serantau ialah penyambungan grid elektrik Sarawak-Sabah yang mula membekalkan tenaga pada Disember 2025.

 

Selain itu kata Masidi, projek Southern Link disasarkan memperkukuh rangkaian penghantaran elektrik Sabah dan meningkatkan keupayaan penyaluran bekalan ke kawasan Pantai Timur.

 

"Kedudukan strategik Sabah di antara Sarawak, Kalimantan dan selatan Filipina turut membuka peluang kepada negeri itu untuk menyertai rangkaian tenaga elektrik serantau yang lebih luas," jelas beliau.

 

Antara cadangan hubungan grid yang berpotensi diteroka termasuk sambungan elektrik Kalimantan Utara-Sabah, Grid Borneo yang lebih menyeluruh serta kemungkinan hubungan elektrik antara Sabah dengan Filipina.

 

Bagaimanapun, beliau menegaskan bahawa kerjasama grid serantau perlu mengutamakan keselamatan tenaga, membawa manfaat ekonomi yang nyata serta melindungi keperluan bekalan domestik dan kepentingan pengguna di Sabah. - DagangNews.com

Terkini standard
Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved