
Kota Kinabalu: Kerajaan Persekutuan meluluskan RM1.57 bilion di bawah Rolling Plan 1 (RP1) Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) bagi pembangunan projek kesihatan di Sabah.
Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata peruntukan itu melibatkan 53 projek, terdiri daripada 46 projek yang sedang dilaksanakan dan tujuh projek baharu, selaras dengan pelan strategik kementerian untuk membangunkan kemudahan kesihatan berimpak tinggi bagi memenuhi keperluan rakyat Sabah.
“Antara projek baharu ialah Pusat Jantung Sabah bernilai RM125 juta dan Klinik Kesihatan Jenis 5 berserta kuarters kakitangan di Sapulut, Nabawan bernilai RM81.95 juta,” katanya kepada pemberita pada Isnin, selepas mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Tindakan Bersama Pembangunan Kesihatan Sabah 2026 yang julung kali diadakan bersama Menteri Pembangunan Wanita, Kesihatan dan Kesejahteraan Rakyat Sabah Datuk Julita Majungki.
Dzulkefly berkata mesyuarat itu turut mendengar 33 tuntutan Sabah di bawah rundingan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) berkaitan pembangunan kesihatan yang dikendalikan melalui lima jawatankuasa kecil.
“Jawatankuasa bersetuju menyediakan kad skor seimbang bagi menetapkan garis masa, hasil yang perlu dicapai serta petunjuk prestasi utama yang jelas untuk menjejaki kemajuan,” katanya.
Mengenai penjawatan dan sumber manusia, Dzulkefly berkata sebanyak 607 jawatan baharu diwujudkan di Sabah setakat 1 Ogos, terdiri daripada 355 jawatan kumpulan pengurusan dan profesional termasuk 77 jawatan pakar serta 203 jawatan pegawai perubatan, pergigian dan farmasi, selain 252 jawatan kumpulan sokongan bagi memastikan kemudahan beroperasi pada kapasiti optimum.
“Kementerian Kesihatan menyasarkan peningkatan lima peratus setahun dalam peruntukan bagi Jabatan Kesihatan Sabah, dengan jumlah peruntukan diunjurkan mencecah RM4 bilion menjelang 2030,” katanya.
Selain itu, beliau berkata hampir RM4.3 juta peruntukan segera diluluskan untuk tiga hospital daerah susulan lawatan kerjanya ke Tambunan, Ranau dan Kota Belud bermula 14 Ogos.
Bagi Hospital Tambunan, sebanyak RM988,000 diluluskan untuk menaik taraf jabatan kecemasan, membaiki kantin yang rosak serta mendapatkan peralatan perubatan. Beliau turut merakamkan penghargaan kepada Ahli Parlimen Keningau Datuk Seri Dr Jeffrey Kitingan atas sumbangan katil hidraulik dan mesin ultrabunyi kepada hospital berkenaan.
Selain itu, Dzulkefly berkata kementeriannya memutuskan untuk membatalkan projek jabatan pesakit luar yang terbengkalai dan tertangguh selama sembilan tahun, sebaliknya memberi tumpuan kepada pembinaan hospital baharu.
Katanya, kerja awal kini dilaksanakan Jabatan Kerja Raya bagi membolehkan kementerian memohon butiran lengkap projek di bawah Rolling Plan 3 (RP3) RMK13.
Bagi Hospital Ranau, beliau berkata RM1.279 juta diluluskan bagi menangani isu kritikal kemudahan, dengan RM950,000 disalurkan untuk membina semula kaunter triage, membaiki kantin, menaik taraf kapasiti transformer elektrik bagi pemasangan penghawa dingin serta mendapatkan tiga unit baharu bilik mayat.
Sebanyak RM329,000 lagi diperuntukkan bagi peralatan perubatan penting, selain kelulusan mendapatkan empat ambulans baharu.
Dzulkefly berkata beliau dan Ketua Setiausaha Kementerian Kesihatan tidak bersetuju dengan cadangan tapak bagi pembinaan Hospital Ranau baharu, sebaliknya mahu kajian kebolehlaksanaan dilaksanakan segera untuk menaik taraf hospital di tapak sedia ada. Bagi Hospital Kota Belud, Dzulkefly meluluskan RM2.01 juta selepas mendapati unit pesakit luar sesak dengan purata 261 pesakit sehari.
Peruntukan itu merangkumi RM1 juta untuk menaik taraf unit pesakit luar, RM510,000 bagi memperkukuh peralatan unit pergigian dan RM500,000 untuk mendapatkan mesin sinar-X mudah alih baharu bagi menggantikan aset sedia ada yang berusia 18 tahun.
“Kami menghargai keterbukaan dan kerjasama luar biasa yang ditunjukkan Kerajaan Sabah sepanjang proses rundingan MA63,” katanya sambil menambah kementerian akan terus bekerjasama bagi memastikan ketiga-tiga teras strategik direalisasikan demi kesejahteraan Sabah dan rakyatnya.
Ditanya sama ada projek yang diumumkan itu akan dikendalikan Kerajaan Negeri, Dzulkefly berkata semua peruntukan telah diluluskan untuk pelaksanaan segera.
“Semuanya dikendalikan Jabatan Kesihatan Negeri, di bawah pengarah, sudah tentu,” katanya.






