ALOR GAJAH - Seramai 331,142 pekebun kecil dan penoreh getah di seluruh negara bakal menerima manfaat Bantuan Musim Tengkujuh (BMT) 2026 berjumlah RM132.46 juta bagi meringankan beban kewangan mereka ketika aktiviti penorehan terjejas akibat musim tengkujuh.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, setiap penerima yang layak akan menerima bantuan sebanyak RM400 secara berperingkat iaitu RM200 pada November dan RM200 pada Disember ini.
Beliau yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah berkata, daripada jumlah itu, seramai 5,260 pekebun kecil dan penoreh getah di Melaka turut dikenal pasti sebagai penerima manfaat.
“Inisiatif yang diperkenalkan sejak 2018 ini membuktikan komitmen berterusan kerajaan dalam menjaga kebajikan serta kelangsungan ekonomi keluarga pekebun kecil ketika berdepan ketidaktentuan cuaca dan pendapatan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perasmian Program Kemakmuran Pekebun Kecil dan Hari Terbuka Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (RISDA) Negeri Melaka 2026 di Kolej Universiti Agrosains Malaysia (UCAM), di sini pada Selasa.
Turut hadir, Pengerusi RISDA, Manndzri Nasib; Timbalan Ketua Setiausaha (Dasar) Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW), Datuk Abdul Kahar Abdullah serta Ketua Pengarah RISDA, Datuk Zainal Azni Zulkifli.
**media[3706222]**
Dalam pada itu, Ahmad Zahid berkata, RISDA turut mempergiat usaha memperkasa industri getah menerusi peningkatan produktiviti, pengukuhan pemasaran serta penerapan teknologi dan inovasi bagi meningkatkan pendapatan pekebun kecil.
“Antara usaha yang dilaksanakan ialah menjadikan RISDA sebagai Pembeli Getah Utama melalui RISDA Plantation Sdn Bhd (RPSB) yang merekodkan pembelian sebanyak 16,667 tan metrik getah di seluruh negara setakat 5 November lalu.
“Usaha ini turut disokong dengan pembangunan Depo Berprestasi Tinggi Padang Sebang di Melaka bernilai RM450,000 bagi memperkukuh sistem pengumpulan dan pemasaran lateks secara lebih teratur, telus serta berdaya saing,” katanya.
Katanya, RISDA turut diarahkan mempergiat usaha mengaktifkan semula kebun getah terbiar menerusi penggunaan teknologi torehan secara tebuk atau puncture tapping bagi meningkatkan produktiviti hasil selain mengatasi kekurangan tenaga kerja.
Selain itu katanya, pembangunan generasi muda desa juga diperkukuh menerusi Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) Pertanian dengan sasaran penyertaan 460 peserta dalam tujuh bidang kemahiran termasuk operasi tanaman, perladangan getah dan sawit, penternakan serta akuakultur.
Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) Kampung Paya Redan, Shahrom Shadan, 55, berkata, BMT banyak membantu pekebun kecil menampung perbelanjaan harian ketika tidak dapat menoreh akibat hujan.
Katanya, kebanyakan pekebun kecil di Melaka tertumpu di daerah Jasin dan Alor Gajah, manakala jumlahnya di Melaka Tengah lebih kecil.
“Alhamdulillah, terima kasih kepada kerajaan kerana menyediakan bantuan ini untuk pekebun kecil yang tidak dapat menoreh getah ketika musim tengkujuh.
“Bantuan ini banyak memudahkan kehidupan masyarakat pekebun kecil untuk meneruskan kelangsungan hidup sepanjang tempoh berkenaan,” katanya.
**media[3706220]**
Beliau berkata, walaupun tempoh musim hujan di Melaka tidak sepanjang di negeri-negeri Pantai Timur, pekebun kecil masih mempunyai sumber pendapatan alternatif menerusi aktiviti pertanian dan penternakan.
Pada majlis sama, Kamal Azam Kamarudin dinobatkan sebagai Tokoh Pekebun Kecil Negeri Melaka atas kecemerlangannya dalam mengusahakan kebun, kepimpinan, semangat sukarelawan serta keprihatinan terhadap masyarakat.





