amree11/11/2026 - 15:20 Oleh AMREE AHMAD amree@dagangnews.com KUALA LUMPUR 11 Nov — Pekebun kecil getah di Sabah digesa agar memanfaatkan keadaan harga getah yang menggalakkan pada ketika ini dengan meningkatkan aktiviti menoreh secara konsisten bagi menambah hasil dan pendapatan keluarga.
Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (Risda) Sabah berkata, kempen menggalakkan aktiviti menoreh dipergiat bagi mendorong pekebun kecil meningkatkan pengeluaran ketika harga getah berada pada paras yang lebih baik.
Agensi tersebut menjelaskan, pelakanaan amalan pertanian baik (GAP) serta penggunaan sistem torehan yang betul turut mampu meningkatkan kualiti lateks dan getah beku mangkuk, selain membantu penoreh menambah hasil pengeluaran semasa.
"Pengurusan kebun yang lebih teratur dan aktiviti menoreh secara konsisten bukan sahaja dapat memperkukuh pendapatan pekebun kecil, malah menyumbang kepada ekonomi negara," katanya dalam kenyataan pada Rabu.
Bagaimanapun, kempen itu turut mendapat maklum balas apabila beberapa pihak menekankan cabaran kerja menoreh, termasuk isu cuaca hujan, serta menggesa jaminan harga yang stabil bagi memberikan kepastian terhadap pendapatan.
Dalam perkembangan berkaitan, Risda menggesa pekebun kecil getah yang layak tetapi belum memohon lagi Bantuan Musim Tengkujuh (BMT) 2026 supaya segera mengemukakan permohonan mereka.

Bantuan tersebut ujarnya, bertujuan meringankan beban pekebun kecil sepanjang musim tengkujuh yang boleh menjejaskan aktiviti penorehan dan pendapatan apabila mereka langsung tidak dapat pergi ke kebun untuk menoreh pokok.
"Risda turut memperluas peluang keusahawanan menerusi inisiatif Risda Halal Integrated Network (RiHIN) 2030 bagi membantu pekebun kecil serta keluarga membangunkan produk, memperkukuh jenama dan menembusi pasaran lebih luas," katanya.
Ketua Pengarah Risda, Datuk Zainal Azni Zulkifli berkata, RiHIN berperanan menghubungkan sumber luar bandar dengan industri, pemprosesan, teknologi, penjenamaan, peruncitan serta pasaran global.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan bengkel RiHIN 2030 selama tiga hari yang disertai 70 peserta, dengan kerjasama rangkaian agensi serta rakan strategik bagi membantu usahawan memperkenalkan produk dan menguji penerimaan pasaran.
Platform RisSMart turut diperkukuh bagi meluaskan akses kepada pelanggan, manakala RiHIN 2030 menyasarkan produk usahawan pekebun kecil menembusi pasaran global menjelang 2030, sekali gus membuka banyak peluang perniagaan serta pekerjaan kepada komuniti itu. - DagangNews.com





