
SEBERANG PERAI – Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (Kuskop) meneruskan inisiatif pembiayaan khas untuk peniaga musim perayaan menerusi Skim Berkat Deepavali bernilai RM30 juta.
Menterinya, Steven Sim Chee Keong berkata, skim berkenaan diperkenalkan bagi membantu usahawan masyarakat India membuat persediaan perniagaan menjelang sambutan Deepavali yang bakal diraikan bulan depan.
Menurutnya, menerusi Berkat Deepavali, usahawan masyarakat India ditawarkan pembiayaan sehingga RM30,000 setiap seorang dengan kadar keuntungan tiga peratus setahun dan tempoh pembiayaan sehingga 12 bulan.
“Kita bukan sahaja menyediakan dana RM30 juta, tetapi juga mahu memastikan proses pembiayaan lebih cepat,” katanya Program Madani Kita Peringkat Negeri Pulau Pinang Tahun 2026, di Bukit Mertajam di sini, hari ini.
Steven berkata, pendekatan sama sebelum ini dilaksanakan menerusi skim Barakat Ramadan sempena Aidilfitri yang berjaya menyalurkan RM35 juta kepada 5,590 usahawan, melebihi peruntukan awal RM30 juta.
Katanya, pengalaman itu menunjukkan keperluan pembiayaan dalam kalangan peniaga kecil, khususnya mereka yang bergantung kepada musim perayaan untuk meningkatkan pendapatan.
Tambahnya, pembiayaan Berkat Deepavali boleh digunakan sebagai modal pusingan tambahan, khususnya oleh peniaga dan penjaja kecil dalam sektor makanan dan minuman, pakaian serta penjualan peralatan dan kelengkapan menjelang Deepavali.
Katanya, skim yang dilaksanakan menerusi Tabung Ekonomi Kumpulan Usaha Niaga Nasional itu dibuka mulai hari ini hingga 8 November depan kepada warganegara Malaysia daripada masyarakat India berumur antara 18 hingga 65 tahun, manakala permohonan boleh dibuat secara dalam talian atau di pejabat cawangan Tekun di seluruh negara. – KOSMO! ONLINE
The post RM30 juta pembiayaan bantu usahawan India appeared first on Kosmo Online.






