Barangan seludup China RM12.87 juta dirampas, lima ditahan

21 Aug 2026 • 10:41 PM MYT
The Sun Daily
The Sun Daily

For the latest news and features from Malaysia and the rest of the world.

Image from: Barangan seludup China RM12.87 juta dirampas, lima ditahan

PDRM rampas barangan seludup dari China bernilai RM12.87 juta dalam Ops Taring Alpha di KL dan Klang, tahan lima individu termasuk dua warga asing

KUALA LUMPUR: Polis Diraja Malaysia (PDRM) merampas pelbagai barangan disyaki diseludup dari China bernilai RM12.87 juta dalam serbuan di tiga premis di Kuala Lumpur dan Klang, Selangor pada 5 Ogos lepas.

Timbalan Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (JKDNKA) (Gerakan/Operasi) Bukit Aman Datuk Muhammad Abdul Halim berkata rampasan dalam Ops Taring Alpha 2 dan Ops Taring Alpha 5 itu melibatkan minuman keras, produk makanan, rokok, produk kecantikan, pokok bonsai, topi keledar dan aksesori telefon.

Beliau berkata lima lelaki turut ditahan melibatkan tiga warga tempatan dan dua warga asing berumur 20-an hingga 30-an dipercayai bekerja di premis yang menjadi lokasi penyimpanan dan pengumpulan barangan terbabit.

“Siasatan lanjut sedang dijalankan bagi mengenal pasti keseluruhan rangkaian bekalan, sumber kemasukan barangan dan pihak lain yang mempunyai kaitan dengan aktiviti berkenaan.

“Barangan ini dipercayai dibawa masuk ke negara ini melalui pelabuhan dengan melakukan pengisytiharan palsu bagi mengelakkan pemeriksaan,” katanya pada sidang media di sini, hari ini.

Muhammad berkata dalam Ops Taring Alpha 2 di Kuala Lumpur, polis merampas 2,112 tin dan 3,696 botol minuman keras pelbagai jenama bernilai kira-kira RM2.57 juta, selain 4,092 botol Zhongpi Craft Beer bernilai RM2.07 juta.

“Turut dirampas 52,339 peket, kotak dan botol pelbagai produk makanan dan minuman dari China bernilai kira-kira RM456,000, menjadikan keseluruhan nilai rampasan Ops Taring Alpha 2 sebanyak RM5.1 juta,” katanya.

Dalam Ops Taring Alpha 5 di Klang pula, polis merampas minuman keras dari China membabitkan 10 tempayan berkapasiti 30 liter setiap satu, 10 tempayan berkapasiti 15 liter setiap satu dan 252 botol berkapasiti 500 mililiter setiap satu, dengan nilai keseluruhan kira-kira RM2.17 juta.

Yang turut dirampas ialah 245 karton rokok putih China bernilai RM301,840 dan 1,800 topi keledar bernilai RM1.8 juta.

Rampasan lain melibatkan 780 set aksesori telefon bernilai RM936,000, produk kecantikan bernilai RM2.29 juta serta 260 pokok bonsai berpasu pelbagai saiz dan jenis bernilai RM260,000.

Keseluruhan nilai rampasan Ops Taring Alpha 5 ialah RM7.7 juta, menjadikan jumlah rampasan bagi kedua-dua operasi sebanyak RM12.87 juta.

Muhammad berkata kes disiasat mengikut Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967, Seksyen 102(1)(c) Akta Cap Dagangan 2019 dan Seksyen 14 Akta Kuarantin Tumbuhan 1976.

Dalam perkembangan berkaitan, beliau berkata JKDNKA menerusi Biro Kawalan Jenayah Hidupan Liar (WCB)/Perisikan Siasatan Khas (PSK) Cawangan Perisikan Siasatan Khas merekodkan 242 serbuan di seluruh negara bagi tempoh 1 Jan hingga 21 Ogos dengan nilai rampasan keseluruhan dianggarkan RM315.15 juta.

Katanya, serbuan itu turut membawa kepada penahanan 416 individu atas pelbagai kesalahan termasuk penyeludupan barangan tidak berkastam, ketirisan barangan kawalan dan bersubsidi, penyeludupan hidupan liar serta sisa elektronik.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved