RM5 juta indahkan Stesen LRT Masjid Jamek

22 Oct 2026 • 4:45 PM MYT
Kosmo Online
Kosmo Online

Hub berita berintegriti dan sensasi dalam dan luar negara.

Image from: RM5 juta indahkan Stesen LRT Masjid Jamek

KUALA LUMPUR – Prasarana Malaysia Berhad (Prasarana) memperuntukkan hampir RM5 juta bagi Projek Pengindahan Stesen Transit Aliran Ringan (LRT) Masjid Jamek dalam usaha meningkatkan keselesaan pengguna serta menjadikan kawasan berkenaan lebih menarik dan mesra pengunjung.

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook berkata, projek berkenaan bukan sekadar bertujuan mencantikkan stesen, sebaliknya perlu memberi manfaat nyata dari aspek keselesaan, keselamatan dan kemudahan kepada pengguna.

“Saya mahu penambahbaikan ini bukan sekadar menjadikan stesen lebih cantik, tetapi benar-benar meningkatkan keselesaan, keselamatan dan kemudahan kepada pengguna.

“Setiap ringgit yang dibelanjakan mesti memberikan manfaat yang nyata kepada rakyat,” katanya ketika berucap pada Majlis Pelancaran Projek Pengindahan Stesen LRT Masjid Jamek di sini, hari ini.

Menurut beliau, Stesen LRT Masjid Jamek merekodkan purata kira-kira 1.39 juta penumpang sebulan dan memainkan peranan penting dalam menyokong pergerakan harian warga kota.

Katanya, projek itu merangkumi empat komponen utama iaitu menaik taraf kawasan Jalan Benteng dengan kemudahan ruang awam dan komersial, meningkatkan pencahayaan di Jalan Tun Perak, memperluas elemen penghijauan serta menambah baik sistem pandu arah sekitar stesen.

Projek yang dilaksanakan secara berfasa sejak 2025 itu dijangka siap sepenuhnya menjelang penghujung 2027.

Dalam pada itu, Anthony berkata, kedudukan Stesen LRT Masjid Jamek di tengah kawasan bersejarah menjadikannya pintu masuk penting ke beberapa destinasi warisan termasuk Dataran Merdeka, Bangunan Sultan Abdul Samad dan Masjid Jamek Sultan Abdul Samad.

“Kita mahu stesen ini bukan sahaja berfungsi sebagai hab pertukaran rel, tetapi turut menghubungkan pengguna dengan aktiviti ekonomi, kebudayaan dan pelancongan di kawasan sekitarnya.

“Ini juga penting dalam usaha memperkukuh daya tarikan Kuala Lumpur sebagai destinasi pelancongan, khususnya sempena Tahun Melawat Malaysia 2026,” katanya.

Tambahnya, stesen pengangkutan awam pada masa hadapan tidak seharusnya dilihat sekadar sebagai tempat penumpang menaiki dan turun daripada tren, sebaliknya berpotensi menjadi pusat tumpuan komuniti, aktiviti komersial serta pelancongan.

Beliau berkata, pembangunan ruang niaga baharu di Jalan Benteng juga mampu memberi kemudahan tambahan kepada pengguna selain membuka peluang perniagaan dan merancakkan ekonomi setempat. – KOSMO! ONLINE

The post RM5 juta indahkan Stesen LRT Masjid Jamek appeared first on Kosmo Online.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved