
KUALA LUMPUR - Seorang pelajar lelaki Tingkatan Empat berusia 16 tahun diperintahkan menjalani tahanan selama tiga tahun di Sekolah Henry Gurney, selepas mengaku bersalah merogol kenalan perempuannya yang berusia 15 tahun.
Perintah itu dikeluarkan oleh Mahkamah Majistret Batu Pahat selepas Majistret Mustaqim Sukarno berpuas hati dengan pengakuan bersalah tertuduh, serta mengambil kira laporan sosial yang dikemukakan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).
Perintah tersebut berkuat kuasa serta-merta.
Remaja terbabit berdepan tiga pertuduhan merogol mangsa di sekitar Batu Pahat antara jam 5 petang hingga 10 malam pada 31 Disember tahun lalu, 22 Mac dan 17 Mei tahun ini.
Pendakwaan dibuat mengikut Seksyen 376(1) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun serta sebatan jika disabitkan kesalahan.
Bagaimanapun, memandangkan tertuduh merupakan pesalah juvana, mahkamah mempunyai budi bicara untuk menjatuhkan hukuman alternatif, termasuk melepaskannya dengan bon berkelakuan baik, mengenakan denda atau memerintahkan tahanan di Sekolah Henry Gurney.
Berdasarkan fakta kes, mangsa membuat laporan polis dengan mendakwa dia dibawa tertuduh ke sebuah rumah sebelum dirogol.
Mangsa turut mendakwa kejadian itu berlaku sebanyak tiga kali selepas tertuduh membawanya bersiar-siar di sekitar Senggarang.
Siasatan mendapati tertuduh membawa mangsa masuk ke dalam rumah melalui pintu belakang bagi mengelakkan perbuatannya disedari ahli keluarga.
Susulan siasatan, polis menahan remaja itu di kediamannya.
Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Nur Shazleen Ibrahim, manakala tertuduh tidak diwakili peguam. - Getaran, 5 Ogos 2026





