johardy29/10/2026 - 18:00 Oleh JOHARDY IBRAHIM editor@dagangnews.com KUALA LUMPUR 29 Okt - Lebih separuh daripada rokok yang digunakan di Malaysia masih tidak dikenakan cukai apabila rokok seludup menguasai 56% pasaran, ketika British American Tobacco (Malaysia) Bhd atau BAT Malaysia berdepan kemerosotan jualan dan penyusutan bahagian pasaran.
Menurut BAT Malaysia, rokok seludup merangkumi 56% daripada keseluruhan jumlah rokok yang digunakan di negara ini setakat Julai 2026, berbanding 56.2% pada Mei dan 54% pada akhir 2025.
Angka itu menunjukkan rokok haram terus menguasai bahagian pasaran yang lebih besar berbanding rokok yang dijual melalui saluran sah, meskipun pelbagai usaha penguatkuasaan dilaksanakan.
Pengarah Urusan BAT Malaysia, Daniel Hsu menyambut baik peruntukan kerajaan bagi memperkukuh penguatkuasaan menerusi Belanjawan 2027.
Beliau berkata, syarikat akan terus bekerjasama dengan pihak berkuasa dan pemegang kepentingan lain bagi menangani perdagangan rokok haram.
"Kami mengalu-alukan peruntukan penguatkuasaan yang kukuh oleh kerajaan di bawah Belanjawan 2027," katanya dalam satu kenyataan.
Jualan rokok sah terus merosot
Penguasaan rokok seludup berlaku ketika pasaran rokok sah di Malaysia menguncup 3.9%, manakala jumlah jualan BAT Malaysia mencatatkan penurunan lebih ketara sebanyak 21.1%.
Bahagian pasaran syarikat itu turut menyusut sebanyak 1.9 mata peratusan, mencerminkan tekanan berterusan terhadap kedudukannya dalam industri tembakau sah.
BAT Malaysia mencatatkan keuntungan bersih RM2.3 juta bagi suku ketiga berakhir 30 September 2026, dengan hasil RM302 juta berbanding RM300.8 juta dalam tempoh sama tahun lalu.
Perbelanjaan operasi syarikat berkurangan 40% berbanding suku sebelumnya kepada RM46.4 juta apabila kos berkaitan penyusunan semula sistem pengedarannya semakin berkurangan.
Bagi tempoh sembilan bulan pertama 2026, hasil BAT Malaysia merosot kepada RM977.6 juta daripada RM1.2 bilion setahun sebelumnya.
Bagaimanapun, kerugian bersih terkumpul syarikat berjumlah RM22.2 juta bagi tempoh sembilan bulan itu, berbanding kerugian RM24.5 juta yang dicatatkan dalam enam bulan pertama tahun ini.
BAT mula menunjukkan tanda pemulihan
Hsu berkata, langkah penyusunan semula operasi yang dilaksanakan syarikat mula menunjukkan hasil selepas sebahagian besar kos sekali bayar ditanggung pada separuh pertama tahun ini.
"Prestasi kewangan suku ketiga kami menunjukkan tindakan tegas yang diambil pada awal tahun ini mula membuahkan hasil," katanya.
Menurut beliau, BAT Malaysia berjaya mencatatkan keuntungan bagi dua suku tahun berturut-turut walaupun bahagian pasarannya terus menyusut.
Bagaimanapun, beliau mengakui prestasi keseluruhan syarikat masih belum mencapai tahap yang diharapkan.
BAT Malaysia kini melaksanakan model pengedaran baharu yang dikenali sebagai Route-to-Market (RTM) bagi meningkatkan produktiviti jualan, memperkukuh hubungan langsung dengan peruncit dan mengurangkan kos operasi.
Menurut Hsu, pelaksanaan awal model itu menunjukkan peningkatan produktiviti lawatan jualan serta lebih banyak pertemuan secara bersemuka dengan peruncit.
Syarikat kini memberi tumpuan kepada usaha meningkatkan kecekapan pengedaran, mengurangkan masalah kehabisan stok di kedai dan mengukuhkan struktur kos bagi memastikan perniagaannya lebih mampan.
BAT Malaysia turut mengisytiharkan dividen interim ketiga sebanyak dua sen sesaham, membabitkan jumlah keseluruhan RM5.7 juta, yang akan dibayar pada 28 Disember 2026. - DagangNews.com






