Kain Fashion Incubator tawar geran RM5,000 kepada 10 penggiat fesyen Malaysia

29 Oct 2026 • 9:00 AM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Kain Fashion Incubator tawar geran RM5,000 kepada 10 penggiat fesyen Malaysia Image from: Kain Fashion Incubator tawar geran RM5,000 kepada 10 penggiat fesyen Malaysia johardy29/10/2026 - 09:00 Oleh JOHARDY IBRAHIM editor@dagangnews.com

KUALA LUMPUR 29 Okt - Kain Fashion Incubator (KFI) membuka permohonan kepada penggiat fesyen Malaysia untuk mengisi 10 tempat dalam program sulungnya selama enam bulan yang menawarkan geran pengeluaran dan sokongan perniagaan bagi membangunkan jenama dengan identiti kreatif tersendiri serta berdaya maju secara komersial.

 

Setiap peserta terpilih akan menerima geran pengeluaran RM5,000 untuk menghasilkan koleksi kapsul yang akan diperagakan kepada orang ramai sempena KL Festival 2027, dengan permohonan ditutup pada 6 November 2026.

 

Menurut KFI, program itu menggabungkan pembangunan kreatif dengan latihan praktikal perniagaan merangkumi penetapan harga, pengeluaran, pengurusan barangan, komunikasi, akses pasaran dan persediaan memasuki pasaran runcit, selain menyediakan bimbingan mentor, sokongan pembangunan perniagaan, ruang kerja khusus serta akses kepada rangkaian industri.

 

Bengkel dan sesi panel akan menampilkan tokoh industri termasuk pereka Uzair Shoid, pengasas bersama GHOSTBOY David Han, pengasas bersama Dia Guild Aisha Hassan serta pengkritik fesyen Zaihani Mohd Zain yang dikenali sebagai Kak Zai, manakala penceramah tambahan akan diumumkan dalam beberapa minggu akan datang.

 

KFI mengalu-alukan penyertaan penggiat baharu dan berpengalaman, termasuk mereka yang sedang menubuhkan jenama bebas atau kumpulan kreatif, mengembangkan perniagaan sedia ada atau kembali ke industri dengan hala tuju baharu, dengan pemohon perlu menunjukkan perspektif kreatif tersendiri dan kesediaan untuk memajukan kegiatan mereka.


 

solar


 

Warisan tekstil jadi asas pembangunan perniagaan

Berpusat di Semua House dalam kawasan bersejarah fesyen dan tekstil di pusat bandar Kuala Lumpur, KFI baru-baru ini mengadakan Hari Terbuka bagi memperkenalkan program, mentor, ruang kerja dan sokongan yang disediakan sepanjang tempoh enam bulan kepada bakal pemohon.

 

Mengambil namanya daripada perkataan “kain”, program itu berteraskan tradisi tekstil dan amalan kraf Malaysia sambil meneroka tafsiran baharu menerusi reka bentuk kontemporari, selain menyokong aspirasi Warisan KL dan peranan Kuala Lumpur sebagai Bandar Reka Bentuk dalam Rangkaian Bandar Kreatif UNESCO (UCCN).

 

KFI direalisasikan menerusi Program Geran Downtown KL yang disokong Kementerian Kewangan dan dilaksanakan Think City dengan kerjasama Dewan Bandaraya Kuala Lumpur serta Yayasan Hasanah.

 

Sokongan itu dilengkapi pelaburan dan kerjasama industri yang digerakkan Semua House, yang menurut KFI menunjukkan bagaimana pembiayaan awam boleh menggalakkan penyertaan lebih luas daripada perniagaan serta pihak berkepentingan untuk menjadikan pusat bandar Kuala Lumpur lebih meriah, inklusif dan selesa didiami.

 

Penggiat fesyen Malaysia yang berminat boleh mengemukakan permohonan bagi merebut 10 tempat tersebut menerusi www.kainfashionincubator.com selewat-lewatnya pada 6 November 2026. - DagangNews.com

Terkini standard
Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved