‘Roller Coaster’ Rosak Di Taman Tema, 10 Penumpang Cedera

24 Aug 2026 • 3:53 PM MYT
Getaran
Getaran

Menampilkan laporan semasa & terkini yang mencakupi pelbagai aspek kehidupan

‘Roller Coaster’ Rosak Di Taman Tema, 10 Penumpang Cedera

SUBANG JAYA - Sepuluh individu cedera selepas permainan ‘roller coaster’ di sebuah taman tema di sini mengalami masalah teknikal, malam Sabtu lalu.

Ketua Polis Daerah Subang Jaya, Asisten Komisioner Wan Azlan Wan Mamat berkata, kejadian berlaku kira-kira jam 9 malam ketika permainan berkenaan dinaiki 22 penumpang berusia antara 11 hingga 44 tahun.

Menurutnya, laporan polis berhubung kejadian itu diterima pada jam 11.45 pagi semalam.

“Siasatan awal mendapati seramai 22 penumpang terdiri daripada warga tempatan dan pelancong asing, berusia antara 11 hingga 44 tahun, berada di dalam permainan berkenaan.

“Daripada jumlah itu, 10 individu mengalami kecederaan dan kesemua mereka dibawa ke beberapa fasiliti perubatan di sekitar daerah Subang Jaya untuk mendapatkan rawatan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Wan Azlan berkata, kesemua mangsa hanya mengalami kecederaan ringan dan tiada kematian dilaporkan.

Beliau berkata, polis masih menjalankan siasatan bagi mengenal pasti punca sebenar kejadian, selain menasihatkan orang ramai supaya tidak membuat sebarang spekulasi.

“Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian ini boleh menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah Subang Jaya di talian 03-78627100.

“Identiti pemberi maklumat akan dirahsiakan,” katanya.

Sementara itu, beberapa video yang dipercayai merakam keadaan penumpang selepas kejadian turut tular di media sosial. 

Video berkenaan mendakwa permainan ‘roller coaster’ tersebut tergelincir daripada landasannya.

Bagaimanapun, polis setakat ini belum mengesahkan dakwaan bahawa permainan itu terbabas atau tergelincir daripada landasan, dan siasatan masih dijalankan. - Getaran, 24 Ogos 2026

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved