Ronnie Liu patuh nasihat Sultan, ziarah Monumen Rukun Negara

LocalPolitics
20 May 2026 • 1:27 PM MYT
Scoop.my
Scoop.my

News You Can Use, Investigative Reports, Sports, Videos, and Analysis

Image from: Ronnie Liu patuh nasihat Sultan, ziarah Monumen Rukun Negara

Image from: Ronnie Liu patuh nasihat Sultan, ziarah Monumen Rukun Negara

SHAH ALAM – Bekas Exco Selangor, Ronnie Liu Tian Khiew, tampil menzahirkan kepatuhan terhadap nasihat Sultan Selangor dengan menziarahi Monumen Rukun Negara di Dataran Selangor pagi ini.

Sultan Sharafuddin Idris Shah sebelum ini menegaskan keperluan wakil rakyat dan masyarakat untuk hadir sekurang-kurangnya dua kali sebulan bagi merenung kembali asas ideologi negara.

Malah, baginda secara khusus menasihatkan Liu dan Adun Seri Kembangan, Wong Siew Ki, supaya hadir setiap minggu sebagai tanda hormat kepada institusi diraja serta menghayati nilai kesopanan dan moral.

Monumen Rukun Negara yang dibiayai sendiri oleh Sultan Sharafuddin dan dilengkapi bangku pelawat di Dataran Selangor, bersebelahan tiang bendera negeri, menjadi simbol peringatan kepada rakyat tentang asas perpaduan pasca tragedi 13 Mei 1969.

Liu yang sebelum ini lantang mengkritik isu larangan penternakan babi di Selangor, mengakui peringatan Tuanku bukan sekadar ajakan fizikal untuk hadir ke monumen, tetapi mesej mendalam agar pemimpin kembali kepada asas kenegaraan — menghormati Perlembagaan, menjunjung undang-undang, memelihara institusi Raja-Raja Melayu dan menghargai sesama rakyat.

“Saya melihat kunjungan ini bukan sahaja sebagai mematuhi nasihat Tuanku, tetapi juga sebagai penyegar jiwa seorang rakyat Malaysia. Rukun Negara adalah asas negara kita, dan kita mesti berpegang teguh kepada prinsipnya,” katanya kepada Scoop.

"Saya juga merancang untuk datang ke sini minggu depan."

Beliau turut menyeru Exco dan Adun lain agar mencontohi langkah tersebut, sambil menzahirkan penghargaan kepada Sultan Selangor atas hadiah berharga berupa Monumen Rukun Negara.

“Kita sering lupa, dan saya bersyukur Tuanku mengingatkan kembali bagaimana Rukun Negara membimbing serta menyatukan kita. Daulat Tuanku!” ujar Liu. - 20 Mei, 2026

The post Ronnie Liu patuh nasihat Sultan, ziarah Monumen Rukun Negara appeared first on Scoop.

View Original Article