
TAWAU: Sebuah rumah sewa 21-pintu, dua rumah dan empat lot kedai musnah dalam kebakaran di Kg Titingan sekitar jam 5 pagi Jumaat.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tawau, Jemishin Ujin berkata, pasukannya mencegah kebakaran daripada merebak ke 210 rumah berhampiran selepas menerima panggilan kecemasan menerusi NG999 pada jam 5.03 pagi.
Katanya, lima jentera, termasuk kenderaan utiliti, dikerah ke tempat kejadian sejauh tiga kilometer dari balai, diketuai PBK I Zougrana Konin serta Komander Operasi Kanan, PPgB Madzlan Sarman.
“Kebakaran membabitkan dua rumah jenis separuh kekal dan sebuah rumah sewa 21-pintu jenis separuh kekal, kesemuanya musnah sepenuhnya.
“Turut terbakar sepenuhnya ialah empat lot kedai jenis separuh kekal,” katanya.
Jemishin berkata, pasukannya membentangkan dua aliran hos sepanjang 400 kaki dan 300 kaki dengan empat pancutan, menggunakan bekalan air daripada jentera dan pili bomba berhampiran.
Selain itu, katanya, pasukan Bomba Komuniti Titingan turut membentangkan satu aliran sepanjang 500 kaki dengan dua pancutan menggunakan bekalan air terus daripada pili bomba.
“Pasukan mengawal kebakaran pada jam 5.59 pagi serta menghalang kebakaran daripada merebak ke 210 rumah berhampiran,” katanya, menambah operasi ditamatkan sepenuhnya pada jam 8.26 pagi selepas memastikan tiada lagi bahaya lain di lokasi.
Jemishin berkata, operasi membabitkan 34 anggota dengan bantuan lima anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM), 11 anggota Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dan dua anggota Sabah Electricity (SE).
Tiada mangsa dilaporkan, manakala, punca dan jumlah kerugian masih dalam siasatan.
Di BELURAN, sebuah rumah separa kekal di Jalan Beluran, Kampung Matanggar, musnah sepenuhnya dalam kebakaran pada Khamis.
Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan menerusi sistem NG999 pada 6.32 petang sebelum sepasukan enam anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Beluran tiba di lokasi pada 6.40 petang.
Pasukan menggunakan dua aliran hos sepanjang 300 kaki dan dua pancutan untuk menjalankan operasi pemadaman, dengan bekalan air diperoleh dari kolam berhampiran.
Kebakaran dikawal pada 7.09 malam, manakala operasi ditamatkan sepenuhnya pada 8.04 malam selepas pasukan memastikan lokasi selamat dan tiada bahaya susulan.
Tiada kecederaan dilaporkan.
Operasi diketuai PBK I Ab. Azman Ab. Asimin selaku Komander Operasi, dengan penglibatan enam anggota dan sebuah kenderaan CFRT dari BBP Beluran.


![[VIDEO] Rumah peguam terkenal musnah dijilat api](https://imgproxy.newswav.com/139x0,q50=/https://www.kosmo.com.my/wp-content/uploads/2026/09/peguam.png)

