JOHOR BAHRU – Sebuah rumah rakit di Masai dijadikan lokasi penyimpanan dadah oleh sindiket sebelum ditumpaskan Polis Johor menerusi tiga serbuan yang membawa kepada rampasan keseluruhan bernilai RM7.93 juta, minggu lalu.
Timbalan Ketua Polis Johor, Deputi Komisioner Hoo Chuan Huat berkata, selain rumah rakit, sindiket berkenaan turut menjadikan rumah di kawasan perumahan berpagar dan dikawal keselamatan sebagai ‘gudang’ penyimpanan dadah.
Jelas beliau, operasi kira-kira jam 3.45 petang pada 12 Ogos lalu telah membawa kepada penahanan lapan lelaki tempatan dan seorang wanita warga asing berusia antara 35 hingga 65 tahun.
Menurutnya, serbuan pertama di sebuah rumah di Masai membawa kepada penahanan tiga lelaki sebelum polis menemukan 39.809 kilogram (kg) serbuk disyaki MDMA, 4.91kg ketamin dan 13,400 biji pil Erimin 5 seberat 3.85kg.
“Turut dirampas 216 gram syabu, 22.72kg serbuk disyaki ekstasi serta dua mesin yang dipercayai digunakan untuk memproses ekstasi selain peralatan pembungkusan semula dadah.
“Serbuan kedua di sebuah rumah rakit di Masai pula membawa kepada penahanan empat lelaki tempatan dan polis menemukan 572 gram serbuk disyaki ekstasi,” katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor di sini pada Khamis.
**media[3620569]**
Chuan Huat berkata, serbuan ketiga di sebuah rumah di Ulu Tiram pula menyaksikan seorang lelaki tempatan dan seorang wanita warga asing ditahan.
Katanya, polis merampas 230 katrij cecair disyaki syabu sebanyak 0.575 liter, 1.149kg serbuk ekstasi dan 358 gram syabu dalam serbuan berkenaan.
“Turut ditemukan 9,625 biji pil Erimin 5 seberat 1.925kg serta 18.4 liter cecair disyaki ketamin yang disimpan dalam 24 botol plastik,” katanya.
Beliau berkata, secara keseluruhan, rampasan membabitkan 40.381kg serbuk MDMA, 23.869kg serbuk ekstasi, 23,025 biji pil Erimin 5 seberat 5.775kg, 574 gram syabu, 4.91kg ketamin, 18.4 liter cecair ketamin dan 0.575 liter cecair syabu.
“Jumlah dadah berkenaan dianggarkan mampu merosakkan sehingga 323,841 orang jika berada di pasaran,” katanya.
Mengulas modus operandi, Chuan Huat berkata, sindiket berkenaan dipercayai menjadikan rumah dalam kawasan berpagar dan berpengawal sebagai tempat menyimpan bekalan dadah sebelum diedarkan ke pasaran tempatan.
“Siasatan mendapati setiap suspek mempunyai peranan masing-masing termasuk sebagai runner, pembantu, penjaga stor, mekanik bot dan penjaga rumah rakit.
“Seorang lagi dipercayai menjadi dalang sindiket, manakala seorang suspek dipercayai terlibat dalam pemprosesan pil ekstasi dan katrij vape,” katanya.
Menurutnya, enam daripada sembilan suspek mempunyai rekod kesalahan lampau berkaitan dadah, manakala saringan awal air kencing mendapati kesemua mereka positif methamphetamine.
"Kesemua suspek berusia 35 hingga 60 tahun direman sehingga 25 Ogos ini dan kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.
"Polis turut menyita lima kereta, dua bot laju serta wang tunai RM11,320 dengan nilai keseluruhan rampasan dan sitaan mencecah RM8.14 juta," ujarnya.
Sementara itu, Chuan Huat berkata, Polis Johor melupuskan 532.76kg pelbagai jenis barang kes dadah bernilai RM40.02 juta bagi tempoh 1999 hingga 2025.





