Rumah Terbuka Deepavali Ramanan serlah semangat ‘Otrumai’ Madani, satukan pemimpin pelbagai kaum

LocalPolitics
9 Nov 2026 • 2:45 PM MYT
Scoop.my
Scoop.my

News You Can Use, Investigative Reports, Sports, Videos, and Analysis

Image from: Rumah Terbuka Deepavali Ramanan serlah semangat ‘Otrumai’ Madani, satukan pemimpin pelbagai kaum

KUALA LUMPUR - Kunjungan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ke Majlis Rumah Terbuka Deepavali keluarga Menteri Sumber Manusia Datuk Seri R Ramanan sempena sambutan perayaan itu semalam, menyerlahkan semangat ‘Otrumai' (perpaduan) Madani .

Menurut Ramanan, kunjungan Anwar bersama pemimpin kerajaan yang lain, menyaksikan keindahan Malaysia apabila pemimpin daripada pelbagai latar belakang berkumpul sebagai satu keluarga besar, meraikan perayaan yang menjadi sebahagian daripada identiti Malaysia.

Ramanan turut menyifatkan kunjungan Anwar sebagai satu penghormatan besar kepada beliau sekeluarga tatkala Perdana Menteri sibuk menggalas tanggungjawab negara dan memilih rumah terbukanya sebagai destinasi pertama pada hari pertama Pesta Cahaya.

“Malaysia mempunyai satu keistimewaan yang cukup besar. Kita mungkin berbeza bangsa, agama dan budaya, tetapi apabila tiba musim perayaan, kita meraikannya bersama-sama sebagai satu keluarga besar Malaysia.

“Keprihatinan Perdana Menteri terhadap komuniti India bukan sahaja dapat dilihat melalui kesudian beliau bersama-sama meraikan Deepavali, tetapi juga menerusi perhatian yang diberikan terhadap keperluan dan cabaran sebenar masyarakat India, khususnya dalam aspek pendidikan, ekonomi dan kesejahteraan keluarga,” katanya, lapor bernama.

Kunjungan itu yang disambut mesra oleh Ramanan dengan ahli keluarganya, dalam suasana penuh kemeriahan dan semangat kekeluargaan turut disertai barisan kepimpinan kerajaan daripada pelbagai latar belakang bangsa dan agama.

Antara yang hadir ialah Menteri Besar Selangor Datuk Seri Amirudin Shari, Menteri Kerja Raya Datuk Seri Alexander Nanta Linggi, Menteri Pengangkutan Anthony Loke Siew Fook, Menteri Pendidikan Datuk Seri Fadhlina Sidek, Timbalan Menteri Pendidikan Wong Kah Woh serta Timbalan Speaker Dewan Undangan Negeri Selangor Mohd Kamri Kamaruddin.

Image from: Rumah Terbuka Deepavali Ramanan serlah semangat ‘Otrumai’ Madani, satukan pemimpin pelbagai kaum
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim (tengah) beramah mesra bersama Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri R Ramanan (kiri) dan Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari (kanan) ketika berkunjung ke Majlis Rumah Terbuka Deepavali beliau. - Gambar Facebook, 9 November, 2026

Menurut Ramanan, amalan rumah terbuka yang menjadi tradisi masyarakat Malaysia sejak sekian lama, membuktikan perpaduan tidak hanya dibina melalui dasar kerajaan, tetapi diperkukuh menerusi hubungan erat dan interaksi antara masyarakat.

Beliau berkata kepelbagaian agama dan budaya perlu terus diraikan sebagai aset negara, khususnya ketika Malaysia berdepan pelbagai cabaran yang menuntut rakyat untuk kekal bersatu dan saling mempercayai.

“Semangat Malaysia Madani mengajar kita bahawa kekuatan negara bukan terletak pada satu kaum atau satu kelompok sahaja, tetapi pada keupayaan semua rakyat untuk bergerak maju bersama tanpa meninggalkan sesiapa pun.

“Rakyat Malaysia mahukan sebuah negara yang terus hidup dalam suasana aman, harmoni dan saling memahami. Kita mahu melihat kepelbagaian diraikan, bukannya dijadikan alasan untuk mencetuskan perpecahan atau menanam prasangka antara satu sama lain,” katanya.

Beliau pada masa sama turut mengucapkan Selamat Hari Deepavali kepada seluruh masyarakat Hindu di Malaysia dan berharap sambutan pada tahun ini membawa kebahagiaan, kesejahteraan serta kemakmuran kepada setiap keluarga. - 9 November, 2026

The post Rumah Terbuka Deepavali Ramanan serlah semangat ‘Otrumai’ Madani, satukan pemimpin pelbagai kaum appeared first on Scoop.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved