Dua lelaki curi kabel elektrik sekolah dicekup

14 Aug 2026 • 10:47 PM MYT
Utusan Online
Utusan Online

Berita terkini, tepat dan dipercayai daripada Utusan Malaysia

Image from: Dua lelaki curi kabel elektrik sekolah dicekup

TELUK INTAN: Dua lelaki ditahan polis bagi membantu siasatan kes kecurian kabel elektrik di sebuah sekolah di Chenderong Balai di sini yang menyebabkan kerugian dianggarkan RM50,000.

Ketua Polis Daerah Hilir Perak, Asisten Komisioner Chua Kok Lian berkata, pihaknya menerima laporan daripada wakil sekolah pada Rabu lalu selepas mendapati kabel elektrik di kawasan blok sekolah dipotong dan dicuri.

Menurutnya, bertindak hasil risikan dan siasatan, sepasukan polis berjaya menahan kedua-dua suspek kira-kira pukul 3.30 pagi hari ini.

“Hasil soal siasat turut membawa kepada rampasan beberapa barangan dipercayai mempunyai kaitan dengan kes berkenaan.

“Antara yang dirampas ialah peralatan memotong kabel, kabel elektrik dan sebuah kenderaan,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Beliau berkata, kedua-dua suspek dibawa ke Mahkamah Majistret Teluk Intan hari ini dan direman sehingga 17 Ogos bagi melengkapkan siasatan.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

“Polis menasihatkan pihak sekolah, pemilik premis dan orang awam supaya meningkatkan kawalan keselamatan terhadap harta benda, khususnya kabel elektrik yang mudah menjadi sasaran pencuri.

“Orang ramai juga diminta menyalurkan maklumat berkaitan kegiatan jenayah kepada polis supaya tindakan segera dapat diambil,” katanya. – UTUSAN

The post Dua lelaki curi kabel elektrik sekolah dicekup appeared first on Utusan Malaysia.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved