'Runner' sindiket dadah dicekup, jadikan homestay 'stor' simpanan

15 Aug 2026 • 3:07 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: 'Runner' sindiket dadah dicekup, jadikan homestay 'stor' simpanan
Pelbagai jenis dadah dirampas dalam tiga serbuan di bandar Pontian dan Pekan Nanas. Foto: IPD Pontian

PONTIAN – Kegiatan sindiket pengedaran dadah yang menjadikan hotel dan inap desa (homestay) sebagai lokasi penyimpanan bekalan sebelum diedarkan ke pasaran tempatan terbongkar selepas seorang lelaki ditahan dalam tiga serbuan di daerah ini, Selasa lalu.

Dalam operasi bermula kira-kira jam 9.30 malam, Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Pontian merampas keseluruhan 8.21 kilogram dadah bernilai RM921,022.

Ketua Polis Daerah Pontian, Superintenden Hadzrat Hussien Mion Hussain berkata, serbuan pertama di Taman Megah di sini, membawa kepada penahanan seorang lelaki tempatan berusia 36 tahun.

Menurutnya, pemeriksaan terhadap suspek menemukan 14 paket plastik disyaki serbuk ekstasi seberat 410.02 gram, satu paket syabu seberat 19.17 gram, 30 biji pil Erimin 5 seberat 9.22 gram dan tiga biji pil ekstasi seberat 1.93 gram.

“Serbuan kedua kemudian dijalankan di sebuah hotel dan polis merampas enam paket plastik disyaki serbuk ekstasi seberat 231.71 gram, satu paket syabu seberat 16.10 gram serta satu paket ketamin seberat 8.56 gram.

“Serbuan ketiga pula dilakukan di sebuah homestay di Pekan Nenas dan menemukan 50 paket plastik disyaki serbuk ekstasi seberat 1.50 kilogram, satu paket ketamin seberat 50.61 gram, 20 biji pil Erimin 5 seberat 6.12 gram serta tiga balang plastik disyaki serbuk MDMA seberat 5.96 kilogram,” katanya dalam satu kenyataan.

Beliau berkata, siasatan awal mendapati suspek dipercayai berperanan sebagai 'runner' yang mencari pelanggan untuk sindiket berkenaan, manakala siasatan lanjut masih dijalankan bagi mengesan ahli sindiket lain.

“Hasil siasatan mendapati sindiket ini dipercayai aktif sejak awal April lalu dan menjadikan homestay serta hotel yang disewa sebagai tempat penyimpanan dadah sebelum diedarkan ke pasaran tempatan.

“Dadah yang dirampas itu dianggarkan mampu merosakkan seramai 27,455 pengguna,” katanya.

Hadzrat berkata, ujian saringan awal air kencing mendapati suspek positif dadah jenis methamphetamine dan pemeriksaan rekod lampau turut mendapati lelaki terbabit mempunyai rekod kesalahan berkaitan dadah.

Jelas beliau, suspek kini direman selama tujuh hari bermula 12 hingga 18 Ogos untuk membantu siasatan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

Dalam operasi sama, polis turut menyita sebuah Proton Wira dan wang tunai RM500, menjadikan jumlah keseluruhan rampasan dan sitaan bernilai RM926,522.

 

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved