
KUALA LUMPUR: Kementerian Digital sedang memuktamadkan hala tuju dasar utama bagi penggubalan Rang Undang-Undang (RUU) Tadbir Urus Kecerdasan Buatan (AI) yang dijangka dibentangkan di Dewan Rakyat pada awal tahun depan.
Menteri Digital, Gobind Singh Deo berkata, proses itu dilaksanakan secara inklusif dan berasaskan penilaian risiko menerusi sesi konsultasi awam dan libat urus yang dijalankan melibatkan kementerian, agensi kerajaan, pemain industri, ahli akademik, badan profesional, organisasi masyarakat sivil serta orang awam.
“Sebanyak 317 maklum balas daripada 218 entiti telah diterima dan sedang diteliti bagi memuktamadkan kerangka RUU ini.
“Secara prinsipnya, kerangka yang sedang dibangunkan akan merangkumi aspek pengurusan risiko AI, akauntabiliti pihak yang terlibat dalam pembangunan dan penggunaan AI serta mekanisme pelaporan dan pengurusan insiden.
“Pendekatan ini selaras dengan prinsip tanggungjawab perlu ditentukan berdasarkan peranan, tahap kawalan dan tahap risiko yang berkaitan dengan sesuatu sistem AI sepanjang kitar hayatnya,” katanya di Dewan Rakyat, hari ini.
Beliau menjawab soalan Datuk Idris Ahmad (PAS-Bagan Serai) mengenai status penggubalan dan jangkaan RUU Tadbir Urus AI dibentangkan di Dewan Rakyat.
Gobind berkata, pihak kerajaan akan terus melindungi rakyat melalui penguatkuasaan undang-undang sedia ada, sementara menunggu RUU berkenaan dimuktamadkan.
Beliau berkata, isu penipuan dan kandungan pemalsuan (deepfake) ditangani berdasarkan Kanun Keseksaan [Akta 574] dengan sokongan Pusat Respons Penipuan Kebangsaan (NSRC) dan RUU Jenayah Siber 2026, manakala manipulasi kandungan serta maklumat palsu dikawal melalui Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 [Akta 588] dan Akta Keselamatan Dalam Talian 2025 [Akta 866].
“Selain itu, data peribadi dikawal selia di bawah pindaan terbaharu Akta Perlindungan Data Peribadi 2010 [Akta 709] yang mengenakan pematuhan dan penalti lebih ketat, manakala pertahanan siber terus diperkukuh melalui Akta Keselamatan Siber 2024 [Akta 854] bagi memastikan Infrastruktur Maklumat Kritikal Negara (NCII) kekal selamat daripada ancaman,” katanya. – UTUSAN
The post RUU AI dijangka dibentang awal tahun depan appeared first on Utusan Malaysia.






