amree22/09/2026 - 16:40 Oleh AMREE AHMAD amree@dagangnews.com KUALA LUMPUR 22 Sept — Sabah Development Bank Berhad bersedia mempertimbangkan usaha memulihkan projek pembangunan tepi pantai yang lama terbengkalai, PasifiCity di Likas Bay, Kota Kinabalu.
Bank milik kerajaan negeri Sabah itu berkata, kira-kira RM300 juta hutang masih tertunggak, dan menjadikan keperluan modal antara cabaran utama bagi meneruskan semula pembangunan hartanah tersebut.
Menurutnya, pelikuidasi swasta dilantik sudah mengadakan perbincangan dengan pembeli dan agensi kerajaan serta menjalankan beberapa tender bagi mengenal pasti pelabur berpotensi mengambil alih.
"Bagaimanapun, sehingga kini belum ada lagi mana-mana pelabur yang tampil mengemukakan cadangan muktamad bagi meneruskan semula projek tersebut," jelas Sabah Development Bank dalam kenyataan.
PacifiCity merupakan rancangan pembangunan bersepadu tepi pantai bernilai sekitar RM2 bilion yang merangkumi kawasan berkeluasam 7.5 hektar di Likas Bay dan dilancarkan lebih dua dekad lalu.
Projek itu dibangunkan Pacific Sanctuary Holdings Sdn Bhd, namun berdepan masalah kewangan sebelum terhenti pada 2023, manakala syarikat berkenaan kemudiannya sudah diisytiharkan sebagai muflis.

Ketika ini, projek itu berada di bawah pentadbiran pelikuidasi swasta yang dilantik mahkamah bagi menguruskan usaha penyelesaian dan meneroka peluang menghidupkan semula pembangunan berkenaan.
"Cabaran utama yang masih dihadapi dan dikenal pasti Sabah Development Bank ialah jumlah modal amat besar diperlukan untuk memulihkan serta meneruskan balik projek PacifiCity," tambah bank tersebut.
Bank itu namun bukan pemilik berdaftar tanah projek kerana tapaknya dimiliki Majlis Sukan dan Kebajikan Kakitangan Awam Negeri Sabah walaupun tanah itu dicagarkan kepada bank sebagai sekuriti.
Bagaimanapun, pihaknya kekal komited bekerjasama dengan pelikuidasi swasta, pihak berkuasa yang berkaitan, pembeli serta pemegang taruh lain untuk meneroka penyelesaian secara berdaya maju.
Kesediaan Sabah Development Bank mempertimbangkan pengurangan pendedahan itu dilihat sebagai sebahagian daripada usaha mencari jalan keluar bagi projek yang tertangguh lama.
Langkah berkenaan termasuk dengan membuka ruang kepada pelabur baharu untuk menilai potensi meneruskan pembangunan PacifiCity. - DagangNews.com





