amree21/09/2026 - 09:20 Oleh AMREE AHMAD amree@dagangnews.com KUALA LUMPUR 21 Sept — Projek kondominium bakal dibangunkan Eco World Development Group Berhad (EcoWorld) di Singapura dijangka menjana nilai pembangunan kasar (GDV) sekitar RM1.3 bilion, menurut RHB Research.
Anggaran itu dibuat susulan kejayaan kumpulan tersebut memenangi tender pemerolehan tanah di Lorong Putong/Sin Ming Avenue, walaupun harga bidaan yang ditawarkan dilihat agak tinggi berbanding pesaing.
Firma penyelidikan berkenaan dalam nota analisisnya namun berpandangan lokasi strategik tanah tersebut mampu menyokong permintaan positif terhadap projek hartanah baharu itu.
"Justeru, kami mengekalkan saranan ‘beli’ terhadap EcoWorld, namun menurunkan harga sasaran (TP) kepada RM2.66 daripada RM2.78, dengan potensi kenaikan 36% serta anggaran dividen 4% bagi FY26," kata RHB Research.
Penurunan TP itu mencerminkan penggunaan diskaun kepada nilai aset bersih diselaraskan (RNAV), iaitu 15% berbanding 10% sebelum ini, mengambil kira ketidaktentuan geopolitik di Timur Tengah serta ketidakpastian politik tempatan.
EcoWorld memenangi tender bagi tanah pegangan pajakan 99 tahun berkeluasan 4,283.4 meter persegi di lokasi itu pada nilai S$208.1 juta atau kira-kira RM667.6 juta, yang dianugerahkan oleh Urban Redevelopment Authority (URA).
Tanah itu ujar RHB Research, akan dibangunkan sebagai kondominium dengan keluasan lantai kasar (GFA) maksimum 11,994 meter persegi, dan harga bidaan EcoWorld sebanyak S$1,612 sekaki persegi adalah 11% lebih tinggi berbanding bidaan kedua tertinggi.

"Bagaimanapun, lokasi itu ada banyak kelebihan, termasuk tiga minit berjalan kaki dari stesen MRT Bright Hill serta berdekatan institusi pendidikan seperti Ai Tong School, CHIJ St Nicholas Girls’ School, Catholic High School, Raffles Institution dan Eunoia Junior College," katanya.
Selain itu, projek berkenaan turut dikelilingi kawasan rekreasi seperti Bishan-Ang Mo Kio Park dan Windsor Nature Park, menjadikannya berpotensi menarik golongan pembeli naik taraf berpendapatan tinggi serta keluarga berbilang generasi.
RHB Research menganggarkan GDV RM1.3 bilion itu bersamaan harga jualan purata (ASP) sekitar S$3,000 (RM9,590) sekaki persegi, lebih tinggi berbanding sekitar S$2,500 (RM7,992) sekaki persegi bagi projek baharu berhampiran.
EcoWorld dijangka melancarkan projek berkenaan pada 2028 di bawah siri baharu VERSIONE, dengan pembiayaan pemerolehan tanah menggunakan dana dalaman dan pinjaman bank, manakala kadar penggearan kumpulan kini berada pada 0.25 kali.
"Kami mengekalkan unjuran hasil kumpulan bagi FY26 hingga FY28, dengan projek Sdi ingapura itu dijangka mula menyumbang kepada pendapatan kumpulan mulai FY29," jelas firma penyelidikan tersebut.
Di samping itu, ia turut melihat peluang jualan silang dengan beberapa projek EcoWorld di Iskandar Malaysia, Johor, termasuk Eco Botanic, Eco Spring dan Eco Business Parks. - DagangNews.com





