KUALA LUMPUR, 1 OKTOBER 2026 – Universiti Keusahawanan Koperasi Malaysia (UKKM) menganjurkan siri podcast khas (PODKHAS) bertajuk “Sabah Maju Jaya, Pendidikan Keusahawanan dan Koperasi Tunjang Utama” bagi mengupas pemerkasaan ekosistem keusahawanan dan koperasi secara mendalam.
Sesi khas ini menampilkan YB Datuk Ewon Benedick, Timbalan Ketua Menteri III merangkap Menteri Perindustrian, Keusahawanan dan Pengangkutan Sabah, bersama YBhg. Dato’ Ahmad Sobri bin Wan Teh, Pengerusi Anggota Lembaga Koperasi MOCCIS Berhad merangkap Profesor Industri UKKM. Program ini dihoskan oleh YBhg. Datuk Mohd Ali Mansor, Ketua Pengarah Institut Koperasi Malaysia (IKMa) merangkap Pengarah Urusan UKKM sebagai moderator.
Siaran langsung PODKHAS ini bersiaran menerusi platform rasmi TikTok UKKM (@ukkmofficial) pada 1 Oktober 2026 (Khamis), jam 10.30 pagi hingga 11.30 pagi.
Kesinambungan Agenda Keusahawanan dari Kebangsaan ke Akar Umbi
Datuk Ewon Benedick, yang pernah menerajui Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP), berkongsi visi penubuhan UKKM serta kesinambungan dasar peringkat Persekutuan yang kini diselaraskan di peringkat Negeri Sabah. Sesi juga menumpukan pelaksanaan agenda keusahawanan dan koperasi di bawah kerangka Sabah Maju Jaya, agar impak pemerkasaan ekonomi benar-benar sampai kepada masyarakat akar umbi dan kawasan luar bandar.
Akses Pendidikan Tinggi dan Pembangunan Usahawan Sabah
Sesi ini turut menyorot projek rintis penawaran akses pendidikan tinggi UKKM kepada anak-anak Sabah daripada golongan B40 menerusi Biasiswa Khas Negeri Sabah (BKNS). Selain itu, perbincangan merangkumi strategi pemerkasaan usahawan muda, Perusahaan Kecil dan Sederhana (IKS), serta peranan insentif kerajaan negeri dalam memperkukuh sinergi antara gerakan koperasi dan sektor industri.
Transformasi Koperasi dan Pemantapan Kurikulum Industri
Sementara itu, Dato’ Ahmad Sobri bin Wan Teh mengulas perjalanan Program MOCCIS Era Baru dalam membina koperasi yang lebih kompetitif, profesional, dan berdaya saing. Beliau turut memaparkan kolaborasi strategik antara MOCCIS dan UKKM dalam mereka bentuk kurikulum berasaskan industri, sekali gus memanfaatkan kelebihan UKKM yang beroperasi dalam pasaran tumpuan (niche market) ekosistem koperasi tempatan.
Sinergi Kerjasama Strategik Masa Hadapan
Kedua-dua ahli panel menekankan kepentingan kerjasama erat antara Kerajaan Negeri Sabah, MOCCIS, dan UKKM bagi merangka penyelesaian holistik terhadap cabaran keusahawanan, seterusnya melahirkan generasi pemimpin koperasi dan usahawan berimpak tinggi dalam tempoh 5 hingga 10 tahun akan datang.
Di dalam Program PODKHAS itu juga Dato’ Sobri Pengerusi MOCCIS, bersetuju untuk menaja dalam bentuk biasiawa sepenunhya anak-anak warga MOCCIS yang berminat untuk menyambung pengajian di UKKM.
Di samping itu Datuk Ewon juga sempat beramah mesra dengan anak-anak Sabah di UKKM yang mendapat tajaan dari Biasiswa Khas Negeri Sabah (BKNS)





