
Tuaran: Kerajaan Sabah akan meneliti cadangan pelaksanaan inisiatif khas bagi membantu menangani pelbagai cabaran sektor kesihatan di negeri ini.
Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor berkata langkah itu perlu dipertimbangkan berikutan masih banyak isu berkaitan sektor kesihatan yang memerlukan perhatian dan tindakan sewajarnya.
“Namun, masih banyak yang perlu kita buat dan untuk itu kerajaan negeri akan meneliti cadangan untuk melaksanakan satu inisiatif khas bagi membantu menangani cabaran-cabaran sektor kesihatan di negeri ini,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas merasmikan Majlis Perasmian Sambutan Hari Sukan Negara (HSN) Peringkat Negeri Sabah 2026 di Padang Istiadat, di sini, Sabtu. Sambutan tersebut dihadiri kira-kira 5,000 peserta.
Baru-baru ini, Senator Dr RA Lingeshwaran mencadangkan 11 langkah segera untuk memperkukuhkan tenaga kerja sektor kesihatan di Sabah dan Sarawak, termasuk insentif, laluan kerjaya dan sokongan keluarga yang lebih baik.
Hajiji berkata, kerajaan negeri menggalakkan masyarakat menyertai aktiviti sukan, termasuk menerusi sambutan HSN yang dianjurkan setiap tahun, bagi membudayakan amalan hidup sihat dan cergas.
“HSN bukan sekadar acara tahunan atau program yang menghimpunkan masyarakat untuk bersukan selama sehari, sebaliknya menjadi gerakan berterusan untuk membudayakan sukan, kecergasan dan gaya hidup aktif dalam kehidupan seharian.
“Sukan memainkan peranan penting dalam membentuk masyarakat yang sihat, aktif dan produktif, selain menjadi medium penyatuan rakyat tanpa mengira umur, kaum, agama, latar belakang atau kedudukan,” katanya.
Menurutnya, Sabah menyasarkan sebanyak 651,610 penyertaan sempena sambutan Hari Sukan Negara tahun ini, yang memerlukan komitmen serta kerjasama semua pihak bagi memastikan sasaran berkenaan dapat dicapai.
Hajiji mengulas lanjut, kejayaan sambutan itu bergantung pada penglibatan bersama kementerian dan jabatan kerajaan negeri serta Persekutuan, institusi pendidikan, pihak berkuasa tempatan, persatuan sukan, pertubuhan belia, komuniti dan seluruh rakyat Sabah.
Katanya, pendekatan memperluaskan sambutan peringkat negeri ke daerah, termasuk Tuaran pada tahun ini, amat baik kerana membuka peluang kepada lebih ramai masyarakat di peringkat akar umbi untuk turut serta dan merasai kemeriahan program berkenaan.
Difahamkan sambutan Hari Sukan Negara turut diadakan di lima zon lain, iaitu Tawau, Sandakan, Beaufort, Kudat dan Keningau, bagi memastikan manfaat program itu dapat dinikmati masyarakat di seluruh negeri.
Sambutan turut dimeriahkan dengan persembahan seni bela diri silat oleh pemenang pingat Sukan Malaysia (Sukma), persembahan Johan Aerobic Dance Peringkat Negeri Sabah 2026 dan acara senamrobik perdana.
Selain itu, peserta turut berpeluang menyertai Larian Ria Madani atau Berjalan Ria Madani sebagai antara aktiviti utama bagi menggalakkan masyarakat menjadikan sukan dan kecergasan sebahagian daripada kehidupan seharian.
“Semangat Hari Sukan Negara perlu diteruskan sepanjang tahun dan bukan hanya ketika sambutan tahunan, khususnya dalam kalangan golongan belia yang digalakkan menjadikan sukan sebagai sebahagian daripada gaya hidup harian.
“Sukan bukan sahaja membentuk tubuh yang sihat. Sukan turut mengajar kita tentang disiplin, kepimpinan, kerjasama, ketahanan diri dan semangat untuk tidak mudah berputus asa.
“Nilai-nilai inilah yang kita perlukan dalam membentuk generasi muda Sabah yang berkualiti dan berdaya saing,” katanya.
Hajiji menambah, kejayaan sebenar usaha membudayakan sukan bukan semata-mata diukur berdasarkan jumlah program yang dianjurkan atau peserta yang direkodkan, sebaliknya apabila masyarakat menjadikan aktiviti fizikal dan sukan sebagai kebiasaan dalam kehidupan seharian.
Sehubungan itu, beliau turut berharap sambutan Hari Sukan Negara dapat menjadi pemangkin kepada penganjuran lebih banyak program sukan dan rekreasi yang inklusif, mudah disertai serta mampu menarik penyertaan masyarakat daripada pelbagai peringkat umur.
“Platform ini perlu dimanfaatkan untuk mengenal pasti atlet remaja berpotensi tinggi di peringkat daerah bagi diketengahkan ke peringkat negeri, kebangsaan dan antarabangsa,” ujar beliau.






